Naib Presiden Iran Dijangka Ganti Allahyarham Ebrahim Raisi

Naib Presiden pertama Iran, Mohammad Mokhber, dijangka mengambil alih jawatan Presiden selepas kematian Ebrahim Raisi dalam nahas helikopter pada 19 Mei 2024 ketika negara itu bersiap sedia untuk pilihan raya awal. Foto AFP

TEHRAN, 20 Mei – Naib Presiden pertama Iran, Mohammad Mokhber, 68, dijangka mengambil alih jawatan Presiden selepas kematian Ebrahim Raisi dalam nahas helikopter ketika negara itu bersiap sedia untuk pilihan raya awal.

Perlembagaan Iran menetapkan bahawa Naib Presiden pertama mengambil alih sekiranya berlaku kematian, pemecatan, peletakan jawatan, ketidakhadiran atau sakit selama lebih daripada dua bulan oleh Presiden.

Raisi disahkan maut bersama Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian dan pegawai lain dalam nahas helikopter ketika menghampiri penghujung penggal empat tahun pertamanya sebagai Presiden.

Naib Presiden pertama Iran, Mohammad Mokhber, dijangka mengambil alih jawatan Presiden selepas kematian Ebrahim Raisi dalam nahas helikopter pada 19 Mei 2024 ketika negara itu bersiap sedia untuk pilihan raya awal. Foto AFP

Susulan itu, pelantikan sementara Mokhber memerlukan persetujuan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang mempunyai kata putus dalam semua urusan negara.

Sementara itu, Pilihan Raya Presiden untuk memilih pengganti tetap akan diadakan dalam tempoh 50 hari, mengikut Perlembagaan.

Sebuah majlis yang terdiri daripada Speaker Parlimen, Ketua Badan Kehakiman dan Naib Presiden akan ditugaskan untuk mengatur undi nasional.

Presiden Iran Ebrahim Raisi dan Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev semasa berada di tapak empangan antara kedua-dua negara berjiran itu. Foto Iranian News

Mokhber yang dilantik sebagai Naib Presiden ketika Raisi memegang jawatan pada Ogos 2021, dilahirkan di bandar Dezful di wilayah barat daya Khuzestan, di mana beliau memegang beberapa jawatan rasmi.

Selama bertahun-tahun sejak 2007, Mokhber mempengerusikan Pelaksanaan Perintah Imam Khomeini, sebuah organisasi kerajaan yang ditugaskan untuk menguruskan harta yang dirampas berikutan revolusi Islam 1979.

Yayasan itu, yang ditubuhkan pada 1980-an sudah berkembang selama bertahun-tahun menjadi sebuah konglomerat ekonomi negeri yang utama dengan saham dalam pelbagai sektor.

Jawatan Perdana Menteri tidak wujud di Iran dan Presiden dibantu oleh beberapa Naib Presiden bertanggungjawab melantik dan mengarahkan Kabinet. – AFP


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *