Naib Canselor Universiti Malaya Diiktiraf Engineers Australia

Naib Canselor Universiti Malaya Diiktiraf Engineers Australia

Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Seri Prof Dr Noor Azuan Abu Osman, menerima pengiktirafan Professional Engineer of the Year (International) Award 2026 daripada Engineers Australia.

KUALA LUMPUR, 26 Sep – Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Seri Prof Dr Noor Azuan Abu Osman, menerima pengiktirafan Professional Engineer of the Year (International) Award 2026 daripada Engineers Australia.

Beliau menjadi satu-satunya penerima antarabangsa dari seluruh dunia yang menerima pengiktirafan berkenaan, sekali gus mengukuhkan pengiktirafan terhadap kepakaran dan sumbangannya dalam bidang kejuruteraan pada peringkat antarabangsa.

Pengiktirafan itu mencerminkan sumbangan dan kepimpinan Noor Azuan dalam bidang kejuruteraan, khususnya kejuruteraan mekanikal, biokejuruteraan dan biomekanik, selain pencapaian dalam penyelidikan, inovasi serta pembangunan teknologi yang memberi impak kepada masyarakat.

Canselor Universiti Malaya, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pasti berbangga sempena sambutan ulang tahun ke-121 pada 2026. Foto Bernama

Noor Azuan juga ialah Fellow of Engineers Australia (FIEAust), Chartered Professional Engineer (CPEng), Fellow of Institution of Mechanical Engineers, United Kingdom (FIMechE), Chartered Engineer United Kingdom (CEng) serta Fellow of Academy of Sciences Malaysia.

Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang prostetik, ortotik, implan ortopedik, kejuruteraan rehabilitasi dan analisis pergerakan manusia.

Dedikasi penghargaan kepada UM, Malaysia

Mengulas pengiktirafan itu, beliau berkata, anugerah berkenaan membawa makna lebih besar daripada pencapaian individu kerana mencerminkan peranan kejuruteraan dalam menyelesaikan permasalahan sebenar dan meningkatkan kehidupan manusia.

Prestasi Universiti Malaya (UM) yang terus meningkat memberi cabaran tersendiri mengekalkan prestasi semasa dan meningkatkan lagi kualiti setanding universiti terbaik di dunia.

“Sepanjang kerjaya saya, saya sentiasa percaya bahawa ukuran sebenar kejuruteraan bukan sekadar pada apa yang kita bina, tetapi sejauh mana kita mampu meningkatkan kehidupan manusia, menyelesaikan permasalahan dan mencipta masa depan yang lebih baik.

“Saya mendedikasikan penghargaan ini kepada Universiti Malaya dan Malaysia, serta jurutera di seluruh dunia yang terus mencetuskan idea, keberanian dan inovasi dalam membawa perubahan kepada kehidupan dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, ketika dunia berdepan cabaran yang semakin kompleks, bidang kejuruteraan perlu terus menerajui inovasi dan membentuk masa depan lebih baik berteraskan tujuan, keberanian serta nilai kemanusiaan.

“Kita bukan sekadar mencipta teknologi untuk masa hadapan, tetapi membina masa hadapan yang lebih baik untuk didiami,” katanya.

Pengiktirafan antarabangsa itu turut menyumbang kepada usaha UM memperkukuh keterlihatan universiti pada peringkat global, khususnya melalui kepimpinan akademik yang mempunyai kredibiliti dalam penyelidikan, inovasi dan jaringan profesional antarabangsa.

Sepanjang kerjaya akademiknya, Noor Azuan membangunkan kepakaran dalam bidang biomekanik dan biokejuruteraan menerusi penyelidikan yang diterjemahkan kepada teknologi serta aplikasi klinikal.

Sebagai Naib Canselor, pengalaman berkenaan turut menyokong aspirasi UM untuk memperkukuh kecemerlangan akademik dan penyelidikan, memperluas impak ilmu kepada masyarakat serta meningkatkan jaringan dan keterlihatan universiti pada peringkat antarabangsa.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web