Nahas Dua Kereta, Seorang Maut, Dua Cedera Di Tanjung Tualang

Keadaan kenderaan mangsa yang terlibat dalam nahas di Jalan Tanjung Tualang, Kampung Batu 3. Foto JBPM Perak

BATU GAJAH, 7 Jul – Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain di Jalan Tanjung Tualang, Kampung Batu 3, Tanjung Tualang, dekat sini, pada Sabtu malam.

Mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak perubatan manakala dua pemandu dan penumpang sebuah lagi kereta hanya cedera ringan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7.57 malam.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah telah dikejarkan ke lokasi.

“Kemalangan melibatkan dua buah kereta jenis Toyota Corona dengan Honda.

“Terdapat tiga orang mangsa, seorang mangsa perempuan yang membawa Toyota telah tersepit dan maut manakala dua lagi mangsa, seorang lelaki dan seorang perempuan yang menaiki kereta Honda hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, ketua operasi melaksanakan ‘sizeup’ seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dan mengarahkan anggota menggunakan peralatan hidrolik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dan maut.

Katanya, mangsa yang cedera ringan telah diambil alih pihak Kementerian Kesihatan manakala mangsa yang maut telah diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Di samping itu, ujarnya, tugas khas membersihkan sisa-sisa kemalangan di lokasi kejadian telah dilaksanakan selepas kerja-kerja penyelamatan.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II (TBK) Muhamad Zani Othman tamat sepenuhnya jam 10.11 malam. – Awani


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *