MTPMA63: PM Anwar Pengerusikan Mesyuarat Pertama Tahun Ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kota Kinabalu pada 11 September 2026. Foto Bernama

KOTA KINABALU, 11 Sep – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bagi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pagi ini.

Ketibaan Anwar yang juga Menteri Kewangan disambut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta barisan pimpinan kerajaan kedua-dua negeri.

Ini merupakan mesyuarat pertama bagi tahun ini setelah kali terakhir mesyuarat seumpamanya diadakan di Kuching, Sarawak pada September tahun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kuching pada 12 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Mesyuarat yang bermula pada pukul 8.30 pagi tadi berlangsung dalam suasana mesra dengan penekanan ditumpukan kepada rundingan penyelarasan pelbagai perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Terdahulu, malam tadi, Anwar menghadiri Majlis Makan Malam sempena MTPMA63 yang dianjurkan Kerajaan Negeri Sabah sebagai simbolik kepada permulaan mesyuarat yang turut dihadiri Hajiji dan Abang Johari.

Anwar menyifatkan Sabah dan Sarawak sebagai rakan setia dalam Kerajaan Perpaduan yang terus bersama-sama memperkukuh kestabilan negara serta memantapkan semangat perpaduan dan kebersamaan antara wilayah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kota Kinabalu pada 10 September 2026. Foto PMO

Selesai mesyuarat, Anwar dijadual menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Likas pada tengah hari sebelum melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa kebakaran Kampung Numbak di Dewan Serba Guna Damai pada jam 1.50 petang.

Anwar dijadual menziarahi mangsa kebakaran sebelum berlepas pulang ke ibu negara dan dijangka terbang ke New Delhi, India bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-18 yang bermula esok.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *