MP Miri Saran KPM Beri Lebih Banyak Bantuan Kewangan Kepada Pelajar
Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man berkata bantuan kewangan itu bertujuan membantu membiayai pengangkutan bas sekolah, untuk memastikan keperluan asas persekolahan mereka terjamin. Foto Arkib
MIRI, 29 Nov – Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man menyarankan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempertimbang bantuan kewangan untuk perjalanan dan pengangkutan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan yang tidak tinggal di asrama.
Setakat ini peruntukan kewangan ini hanya untuk menampung perjalanan dan pengangkutan pelajar yang tinggal di asrama, katanya ketika turut serta membahaskan Belanjawan 2024 peringkat Jawatankuasa Kementerian Pendidikan Malaysia di Dewan Rakyat semalam.
Katanya, bantuan kewangan itu bertujuan membantu membiayai pengangkutan bas sekolah, untuk memastikan keperluan asas persekolahan mereka terjamin.
“Kementerian Pendidikan Malaysia boleh mencontohi Kerajaan Sarawak di mana bantuan dan subsidi telah diberikan kepada pelajar yang memerlukan untuk membiayai yuran bas sekolah,” katanya.
Dalam pada itu, Chiew turut berterima kasih dengan kadar RMT semasa yang dikenakan sebanyak RM3.50 di Semenanjung Malaysia dan RM4 di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Saya menyarankan agar program ini dapat diperluaskan ke peringkat sekolah menengah khususnya ke tingakatan lima, ketika pelajar sedang membuat persiapan terakhir untuk menghadapi peperiksaan SPM atau ketika menduduki peperiksaan.

“Terdapat beberapa sekolah yang pernah cuba mengadakan program sebegini dengan mendapatkan sumbangan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan telah berjaya mencatatkan prestasi peperiksaan yang lebih baik secara keseluruhan,” jelasnya.
Dalam pada itu Chiew memberitahu, semasa melawat sekolah pendidikan khas, banyak yang mengadu kelas tidak mencukupi.
“Saya memohon supaya KPM akan sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan untuk meningkatkan bilangan kelas dan tenaga kerja di kelas pendidikan khas,” katanya.
Dalam perkembangan lain mengenai yuran Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), ketika membahaskan belanjawan yang sama Chiew berkata, kadar yuran RM2 setahun untuk setiap pelajar sekolah rendah dan RM4 bagi sekolah menengah tidak lagi relevan berikutan kos sara hidup yang sedia ada sekarang.
“Tambahan pula, kadar bantuan yang sama antara negeri telah membawa kepada kesukaran terutama untuk pelajar di Sarawak dan Sabah.
“Pasukan-pasukan sukan dari Sarawak dan Sabah terutama dari kawasan luar bandar, sering menghadapi kos logistik yang lebih tinggi.
“Oleh itu, kami menggesa agar formula pembiayaan sukan dipertimbangkan semula dengan mengambil kira faktor logistik dan perbelanjaan yang lebih tinggi di Sarawak dan Sabah dan setiap peringkat pertandingan,” katanya.
Menurut Chiew, ini akan memastikan bahawa pasukan-pasukan sukan di Sarawak dan Sabah turut diberi peluang yang sama untuk menyertai latihan dan pertandingan sukan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
