MP Bukit Gantang Pula Sokong PM Anwar Secara Terbuka

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Ahli Parlimen Bukit Gantang dari Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka ketika persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sokongan itu dinyatakan beliau ketika sesi pertanyaan menteri (MQT).

“Bukit Gantang isytiharkan sokong Tambun, perdana menteri ke-10 dan gagasan kerajaan Madani,” katanya.

Beliau merupakan ahli parlimen kelima selepas Kuala Kangsar, Labuan, Jeli dan Gua Musang menyatakan sokongan itu dan sokongan terhadap Perdana Menteri kini meningkat kepada 152.

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat. Foto Bernama

Ia sekaligus menyanggah kenyataan pimpinan Bersatu sebelum ini kononnya tiada lagi ahli parlimen mereka akan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

“Adakah Perdana Menteri bersedia menyambut kesediaan ahli-ahli Parlimen yang mempunyai pengalaman, kepakaran, kebolehan, keupayaan untuk membantu dan membangun rakyat sekali gus membangun ekonomi negara.

“Saya sendiri bersedia memberi dan membantu kerajaan bagi mewujudkan masyarakat Madani dalam menangani harga barang dan kos sara hidup,” katanya.

Pengisytiharan tersebut meriuhkan suasana dalam dewan seketika dan ada yang melaung ‘5-1’ bagi merujuk kepada lima ahli Parlimen pembangkang yang menyokong kerajaan dan seorang ahli Parlimen kerajaan yang menyokong pembangkang (Muar) diwakili Muda.

Sokongan itu turut disambut baik oleh Perdana Menteri.

“Saya ucap terima kasih kepada Bukit Gantang, sahabat lama yang kembali memberikan sokongan dengan prinsip yang ditegaskan.

“Pertamanya, menjalin perpaduan, keduanya menjamin ekonomi boleh dipacu dengan lebih berkesan dan ketiga ialah permasalahan dihadapi ekonomi global yang memberi kesan dan dampak negatif dari segi harga barang dan kos sara hidup dapat diselesaikan melalui kerjasama dan muafakat lebih dalam,” katanya

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *