MMK Negeri Sembilan Tak Boleh Atasi UUTKNS – Undang Luak Rembau
Keratan kenyataan dikeluarkan Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid di Facebook pada 16 September 2026.
SEREMBAN, 16 Sep – Sebarang kenyataan atau keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) tidak boleh mengatasi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, tegas Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid.
Menerusi satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook, beliau menegaskan, keputusan MMK juga tidak dengan sendirinya boleh menghidup atau mengesahkan suatu proklamasi yang telah diputuskan oleh Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sebagai tidak sah.
Katanya, DKU telah membuat ketetapan pada 31 Julai lalu dan menegaskannya semula pada 13 September bahawa proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah tidak sah, sekali gus Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Sehubungan itu, semua pihak hendaklah menghormati UUTKNS, bidang kuasa DKU serta ketetapan yang telah dibuat menurut bidang kuasanya.
“Institusi Raja dan Institusi Undang di Negeri Sembilan hendaklah dipelihara dengan penuh tertib dan hormat.
“Tiada individu, institusi pentadbiran atau mesyuarat EXCO yang boleh meletakkan dirinya mengatasi UUTKNS.
“Semua pihak hendaklah menjaga keamanan Negeri Sembilan dan mengelak sebarang tindakan yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam pentadbiran negeri atau menjejaskan kemuliaan institusi beraja dan adat Negeri Sembilan,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

