Merdeka Bebas Daripada Penjajahan Politik Perkauman, Sentimen Agama

Usah biarkan generasi muda diracun dengan sentimen agama dan kaum sesetengah pihak yang ketakutan dengan jenayah silam yang dilakukan semasa mereka berkuasa. Foto Perbadanan Putrajaya
PENDAPAT, 28 Ogos – Hampir 69 tahun negara kita mencapai kemerdekaan daripada jajahan imperialis British, setiap tahun juga rakyat Malaysia disajikan dengan lagu patriotik dan perarakan hari kebangsaan bagi menyemarakkan semangat cintakan negara dan memperteguh perpaduan berbilang kaum.
Namun, soalan yang lebih mendalam sering kita terlepas pandang: adakah kita benar-benar merdeka? Kemerdekaan 1957 membebaskan tanah air daripada penjajahan fizikal tetapi satu bentuk penjajahan lain masih berleluasa hingga kini iaitu penjajahan pemikiran melalui politik menakut-nakutkan atas nama perkauman dan sentimen agama.
Sentimen agama dan perkauman kerap dieksploitasi segelintir pihak untuk menakut-nakutkan rakyat, seolah-olah perpaduan dan kemajuan bangsa lain adalah ancaman kepada identiti sendiri.
Naratif “kaum kita diancam”, “agama kita digugat” digunakan bukan untuk mempertahankan sesuatu yang benar-benar terancam, tetapi untuk mengekalkan kuasa politik dan menyekat pemikiran kritis rakyat.
Pemikiran jumud sebegini menghalang kemajuan sebenar sesebuah masyarakat dan negara tanpa mereka sendiri sedar selama ini. Ia menakutkan rakyat daripada berdialog secara terbuka, daripada mempersoalkan dasar yang tidak adil, dan daripada menerima kepelbagaian sebagai kekuatan, bukan ancaman.
Lebih parah, generasi muda yang perlu diberi ruang berfikir secara rasional dan bukan diprogramkan untuk curiga sesama warganegara sendiri, turut menerima kesan akibat permainan sentimen agama melampau ekoran kesilapan lama termasuk jenayah terhadap negara.
Kemerdekaan bermaksud rakyat berani berfikir di luar kotak yang diciptakan oleh mereka yang mengambil untung daripada perpecahan. Ia bermaksud membina masyarakat yang menghormati perbezaan agama dan kaum tanpa rasa terancam, serta memilih pemimpin berdasarkan integriti dan visi, bukan retorik ketakutan.
Amat malang, menjelang 69 tahun kita merdeka daripada penjajah asing, namun perjuangan sebenar untuk merdeka daripada belenggu pemikiran sempit ini masih jauh dari mmebentuk pemikiran positif daripada racun penunggang agama dan kaum.
Mahu tidak mahu, mereka inilah yang mesti dibanteras segera kerana jika dibiarkan, akibatnya pasti dahsyat demi masa depan negara yang lebih gemilang.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



