Merdeka 69 Tahun: ‘Gen Z’ Dominasi Suasana Sambutan Hari Kebangsaan 2026

Pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap generasi muda dizahirkan dengan kata-kata semangat buat para peserta pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2026.

PUTRAJAYA, 31 Ogos – Generasi muda atau lebih dikenali dengan ‘Gen Z’ terus mendominasi suasana sambutan Hari Kebangsaan 2026, hari ini apabila lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya selain daripada warga lebih berusia.

Suasana dan kemeriahan rancak penuh bertenaga mereka disalurkan secara maksimum apatah lagi menerima pujian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang jelas berbangga dengan semangat tinggi mereka.

Dengan pelbagai formasi menarik disajikan, usaha dan latihan gigih selama berbulan-bulan akhirnya membuahkan hasil malah mendapat pujian di media sosial ketika siaran langsung di kaca televisyen selama lebih dua jam bermula jam 8 pagi tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan beramah mesra dengan para peserta Grafik Manusia dan pengunjung sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, pada 31 Ogos 2026.

kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan hampir 11,000 peserta tahun ini berumur bawah 30 tahun yang antaranya terdiri daripada penuntut Institut Pengajian Tinggi dan pelajar sekolah.

Ia sekali gus memastikan penyertaan generasi muda dalam program bersifat nasional itu penting bagi memberikan ruang kepada mereka untuk memahami erti kemerdekaan dan menghargai semangat perjuangan pemimpin terdahulu meneroka jejak langkah ke arah pengisytiharan kemerdekaan di Stadium Merdeka, 69 tahun lalu.

Gema Inovasi MADANI yang menjadi persembahan pembukaan sambutan hari ini membabitkan 1,900 peserta termasuk 150 pemain utama yang disokong 1,500 pelajar daripada 36 sekolah menerusi persembahan grafik manusia, antara sumbangan besar dalam memastikan kelancaran sambutan meriah yang dirasai ke seluruh negara.

Penglibatan generasi muda atau Gen Z dalam menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 ternyata mendapat pujian ramai pihak pada 31 Ogos 2026.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata sambutan tahun ini berlangsung lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini, selain semua acara berjalan mengikut perancangan dan jadual ditetapkan.

“Alhamdulillah, semua perancangan kita berjalan dengan baik dan untuk sambutan Hari Kebangsaan, kita menyaksikan lebih 100,000 orang hadir serta tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.

“Semuanya berjalan mengikut perancangan, cuaca juga sangat baik hari ini,” katanya kepada ketika ditemui pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.

Persembahan grafik manusia yang dijayakan 1,500 pelajar dari 36 buah sekolah menjadi kemuncak penglibatan Gen Z pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2026.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 berkata, kejayaan kelancaran sambutan itu turut disokong kesiapsiagaan pelbagai agensi, khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam memantau keadaan cuaca.

Katanya, agensi terbabit juga bersedia melaksanakan pembenihan awan sekiranya diperlukan bagi memastikan sambutan berjalan lancar.

“Alhamdulillah, cuaca hari ini sangat baik, hasil daripada doa dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi serta NADMA yang memantau keadaan dan juga bersedia untuk melaksanakan pembenihan awan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan beramah mesra dengan para peserta Grafik Manusia dan pengunjung sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, pada 31 Ogos 2026.

Fahmi turut mengalu-alukan pengunjung yang masih berada di sekitar Putrajaya untuk meneruskan kemeriahan sambutan dengan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan termasuk di Anjung Floria dan acara Riuh Merdeka di Monumen Alaf Baru, selain menikmati sajian daripada trak makanan yamg tersedia.

“Mari kita bersama-sama mempertahankan perpaduan, mari kita bersama mempertahankan Malaysia yang kita cintai,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *