Merdeka 69 Tahun: Agong, Raja Permaisuri Berkenan Berangkat Ke Sambutan Hari Kebangsaan 2026

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang dilangsungkan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2026. Foto Bernama
PUTRAJAYA, 31 Ogos – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang dilangsungkan di Dataran Putrajaya, di sini pagi ini.
Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-69 itu, dimulakan dengan keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah tepat jam 8 pagi.
Tema Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati dipilih sebagai latar sambutan mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat terus dipelihara.

Ketibaan Sultan Ibrahim disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan isteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan 2026.
Sebanyak lima pesawat mengadakan lintas hormat udara di hadapan Sultan Ibrahim, terdiri daripada tiga helikopter EC725, sebuah helikopter AgustaWestland AW109 dan sebuah helikopter operasi maritim AW139, diiringi lagu kebangsaan, Negaraku.
Lagu Negaraku sekali lagi berkumandang mengiringi upacara menaikkan Jalur Gemilang, serentak dengan 14 das tembakan meriam disempurnakan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja Istiadat.

Sambutan kali ini membabitkan 10,819 peserta daripada 77 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 328 aset, 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan dan 11 kereta berhias.
Terdahulu, ketibaan Anwar disambut dengan laungan Malaysia MADANI sebanyak tiga kali kira-kira jam 7.53 pagi diiringi kawalan keselamatan dan diraikan sekitar 80,000 pengunjung dalam dan luar negara.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
