Menyalakan Sinar Harapan MADANI: Kehangatan Deepavali Dan Realiti Jurang Kebajikan

Menjelang perayaan Deepavali, LAI mengunjungi rumah perlindungan menempatkan warga kurang berkemampuan membawa barangan keperluan asas bagi menceriakan perayaan setahun sekali itu pada 27 Oktober 2026. Foto Andre Lai
PENDAPAT, 29 Okt – Setiap kali menjelang perayaan Deepavali, saya mesti akan singgah ke rumah kebajikan seperti Mary’s Home dan Lindungan Ikhlas di Air Panas. Niat saya mudah sahaja. Saya cuma nak hantar skit bantuan makanan dan bawa sedikit keceriaan untuk mereka.
Tahun ini rasa lebih bermakna. Saya ajak beberapa rakan jiran untuk ikut sekali supaya kami boleh serahkan sendiri barang sumbangan kepada anak-anak ini. Bersama Yayasan Seed of Love, kami bawakan barang keperluan asas dan cuba ukirkan senyuman di wajah mereka.
Mary’s Home sekarang jaga lebih 50 orang anak, dan jumlah itu makin bertambah setiap bulan. Di Lindungan Ikhlas pula, mereka lindungi anak-anak kecil dari latar belakang yang susah. Anak-anak ini cuma perlukan tempat yang selamat untuk membesar. Nak urus tempat macam ini bukannya senang. Ia perlukan usaha hari-hari, bekalan yang tak putus, dan dana yang stabil.

Bila datang sini, baru kita nampak realiti sebenar cabaran sosial kita. Laporan UNICEF dan badan kebajikan tempatan anggarkan ada 64,000 kanak-kanak di Malaysia yang tinggal di rumah anak yatim dan pusat jagaan. Data Jabatan Kebajikan Masyarakat pula tunjuk mereka urus terus lebih 13,000 anak-anak.
Bakinya bergantung pada ratusan rumah perlindungan swasta di sekitar Kuala Lumpur. Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tunjuk kes kanak-kanak yang perlukan perlindungan naik 12.7% setahun kepada hampir 10,000 kes. Rekod JPN pula catat lebih 350,000 anak tak sah taraf dalam tempoh sepuluh tahun lepas. Puncanya jelas. Masalah keluarga, kemiskinan bandar, dan hidup yang tak stabil.
Bagi komuniti India yang susah, dianggarkan 10% hingga 12% isi rumah masih berpendapatan bawah RM2,000 ke RM3,000 sebulan. Bila ada masalah mendadak, anak-anak inilah yang paling terkesan.
Sebab itulah dasar kerajaan kena betul-betul sampai ke peringkat bawah. Di bawah Kerajaan MADANI, kita nampak ada usaha nak bantu golongan yang memerlukan.
JKM terus luaskan bantuan mereka. Dalam Belanjawan 2027, kerajaan sediakan RM16 bilion untuk bantuan tunai STR dan SARA, RM1.5 bilion untuk OKU, dan RM1.3 bilion untuk warga emas. Dana MITRA pula dinaikkan ke RM150 juta untuk pendidikan, latihan kemahiran, dan ekonomi keluarga India.
Tapi dasar dan belanjawan besar tak boleh selesaikan semua benda. Sebab itu peranan persatuan tempatan, sukarelawan, dan yayasan swasta sangat penting. Mereka inilah yang turun padang bantu tutup jurang harian supaya anak-anak ini tak rasa terabai.
Pun begitu, usaha akar umbi sahaja tak cukup kalau tiada perubahan struktur jangka panjang. Menjelang perayaan ini, saya minta menteri dan pemimpin berketurunan India dalam kabinet persekutuan untuk tampil membantu. Kita perlukan komitmen jelas untuk bantu rumah seperti Mary’s Home dan Lindungan Ikhlas. Kita perlukan dasar untuk baiki fasiliti mereka, berikan tanah tetap, dan sediakan geran berkala.
Musim perayaan sepatutnya membawa cahaya untuk semua orang. Tak patut ada anak-anak yang ditinggalkan dalam kegelapan semasa orang lain sedang meraikannya.
Sambil kita nyalakan pelita di rumah sendiri pada Deepavali ini, ingatlah juga pada mereka yang bekerja keras di lapangan setiap hari. Saya doakan anak-anak dan warga kerja di Mary’s Home serta Lindungan Ikhlas sentiasa bahagia.
Selamat Hari Deepavali! 🪔✨
Oleh Lai Chen Heng
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


