Menteri Minyak Iran Letak Jawatan

Menteri Minyak Iran, Mohsen Paknejad, mengumumkan peletakan jawatan pada 4 Oktober 2026. Foto Wana News Agency
ISTANBUL, 5 Okt – Menteri Minyak Iran, Mohsen Paknejad, mengumumkan meletak jawatan, lapor agensi berita Tasnim dengan memetik pegawai presiden, menurut Anadolu Ajansi.
Hamid Bovard dilantik memangku jawatan itu.
Timbalan Ketua Komunikasi Pejabat Presiden Iran, Mehdi Tabatabaei, berkata Presiden Masoud Pezeshkian menerima peletakan jawatan Paknejad.
Beliau berkata, Bovard akan mengendalikan hal ehwal kementerian berkenaan.

Tiada sebab diberikan berhubung peletakan jawatan Paknejad yang berlaku ketika Iran berdepan sekatan Amerika Syarikat (AS) yang belum pernah berlaku sebelum ini, khususnya yang menyasarkan sektor minyak negara itu.
Bovard sebelum ini berkhidmat sebagai ketua Syarikat Minyak Nasional Iran (NIOC) milik kerajaan dan menghabiskan sebahagian besar kerjayanya dalam operasi medan minyak.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, sebelum ini berkata Iran tidak lagi mempunyai penghantaran minyak di laut dan tidak akan memperoleh sebarang hasil minyak minggu ini.
Pada 25 Ogos lalu, Jabatan Perbendaharaan AS mengumumkan pelancaran “Operasi Economic Outcast”, satu kempen meluas yang bertujuan mengasingkan Iran sepenuhnya daripada sistem kewangan global.

AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Februari.
Tehran bertindak balas dengan serangan peluru berpandu dan dron di seluruh rantau itu serta menutup Selat Hormuz secara berkesan, laluan strategik bagi bekalan tenaga.
Tentera AS kemudian mengenakan sekatan tentera laut ke atas pelabuhan Iran.
Usaha untuk menamatkan perang itu diteruskan sejak perjanjian rangka kerja pada Jun yang bertujuan membuka jalan kepada perjanjian damai muktamad meliputi pelayaran melalui laluan air strategik itu dan program nuklear Iran. – Bernama-Anadolu
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
