Mengapa Malaysia Alami Cuaca Panas, Kering Ketika Ini?

Situasi panas dan kering turut dipengaruhi oleh fenomena ayunan Madden-Julian (MJO) yang kini berada pada fasa tertentu.

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Perubahan iklim kini didorong oleh beberapa faktor yang sebenarnya menghalang pembentukan awan dan menghasilkan hujan, sekurang-kurangnya sehingga pertengahan bulan depan.

Cuaca panas terik yang melanda Malaysia berpunca daripada keadaan atmosfera yang stabil akibat sistem tekanan tinggi yang menghalang pembentukan awan dan hujan.

Menurut Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Dr. Fredolin Tangang, situasi itu turut dipengaruhi oleh fenomena ayunan Madden-Julian (MJO) yang kini berada pada fasa tertentu.

“Kita pada ketika ini didominasi oleh keadaan cuaca di Malaysia dan hampir seluruh rantau Asia Tenggara yang dipengaruhi sistem tekanan tinggi, iaitu sistem tekanan atmosfera yang agak tinggi.”

“Fasa ini mungkin sekitar fasa 5 atau 6. Apabila fasa ini berlaku, keadaan atmosfera menjadi bertekanan tinggi, perolakan udara terhalang, pembentukan awan berkurangan dan hujan juga berkurang. Berdasarkan radar, hampir keseluruhan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, serta bahagian utara Thailand menunjukkan keadaan awan dan hujan yang rendah,” katanya.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan peningkatan pancaran matahari ke permukaan bumi, sekali gus meningkatkan suhu harian sehingga mencetuskan gelombang haba di beberapa kawasan.

 

Ini menjadi punca beberapa kawasan terutama di utara Semenanjung Malaysia mengalami suhu tinggi mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius.

“Dalam keadaan sedemikian, pancaran matahari yang sampai ke permukaan bumi akan meningkat dan jika keadaan ini berlarutan selama beberapa hari, ia akan menyebabkan peningkatan suhu serta berpotensi mencetuskan gelombang haba.”

Mengulas lanjut beliau menjelaskan, Fenomena ekuinoks yang berlaku pada 20 Mac turut menyumbang kepada peningkatan intensiti sinaran matahari, sekali gus memburukkan lagi keadaan cuaca panas ketika ini.

Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai mengurangkan aktiviti luar.

“Kita masih lagi dalam suasana merayakan Hari Raya Aidilfitri, tetapi bagi mengelakkan risiko tinggi strok haba, pendedahan kepada pancaran matahari pada tengah hari hingga petang perlu dielakkan, terutamanya tanpa sebarang perlindungan.”

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *