Mengaku Salah Isi Petrol RON95, Pemandu Singapura Didenda RM20,000
Pemandu terbabit melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membeli petrol bersubsidi RON95 menggunakan kenderaan berdaftar asing.
JOHOR BAHRU, 4 Jul – Seorang pemandu warga asing didenda RM20,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana mengisi petrol bersubsidi RON95 secara tidak sah ke dalam kenderaan berpendaftaran di Singapura.
Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman itu semalam selepas tertuduh yang berusia lingkungan 50-an yang juga pemandu dan pemilik kenderaan berkenaan mengaku bersalah atas pertuduhan dikenakan.
Tertuduh menjelaskan denda berkenaan pada hari sama.
Kesalahan itu dilakukan pada 9 April lalu apabila pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang menjalankan Op Tiris 4.0 mengesan warga Singapura itu mengisi petrol BUDI95 di sebuah stesen minyak di sini.
Siasatan mendapati pemandu terbabit melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membeli petrol bersubsidi RON95 menggunakan kenderaan berdaftar asing.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sulehan Abd Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam bela.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, berkata kejayaan pendakwaan itu membuktikan komitmen berterusan kementerian dalam membanteras penyelewengan barangan kawalan bagi melindungi kepentingan pengguna dan memastikan kestabilan bekalan negara.
Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan bahan api melalui saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan, pusat panggilan atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


