Melaka Rumah Kita: Kemenangan Pakatan Harapan Penentu Kemerdekaan Dari Politik Retorik

Kemesraan Ginie bersama penduduk tanpa mengira bangsa menyerlahkan perpaduan antara kaum terus subur di Machap Jaya.
PENDAPAT, 31 Okt – Pemerhati politik di ibu kota sering tersilap perhitungan setiap kali pilihan raya negeri bermula. Mereka sibuk mengupas “sentimen pengundi” seolah-olah rakyat keluar mengundi semata-mata untuk mendeklamasikan sajak.
Realitinya jauh lebih jelas. Bil elektrik tidak boleh dibayar dengan idealisme. Rakyat menuntut laluan terus ke pejabat menteri, wakil rakyat yang memahami selok-belok jentera kerajaan, serta pemimpin berwibawa yang tahu merungkai birokrasi tanpa perlu berlakon di atas pentas ceramah.
Di sinilah Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bersama Pakatan Harapan konsisten membuktikan khidmat nyata yang berpijak di bumi nyata di seluruh DUN di Negeri Melaka.

Setiap kali musim mengundi, isu “calon luar” sering dijadikan modal kempen pihak lawan kerana ia mudah ditiup. Namun, adakah calon tempatan semestinya turun berkhidmat? Belum tentu. KEADILAN dan Pakatan Harapan sentiasa menampilkan sosok yang benar-benar turun ke lapangan, bukan figura yang hanya muncul ketika musim kempen lalu hilang selama lima tahun.
Model kepimpinan berjiwa rakyat ini terserlah di DUN Machap Jaya menerusi sosok Ginie Lim. Masyarakat tempatan mengenali beliau bukan melalui gelaran protokol yang kaku, tetapi mesra disapa sebagai Ginie. Beliau ialah anak tempatan yang membina tapak perjuangan dari bawah dan sentiasa berjuang bersama rakyat.
Beliau tewas dua kali sebelum meraih kemenangan bermakna pada tahun 2018. Namun, dalam setiap fasa tersebut, sokongan kepada beliau terus meningkat kerana kerja keras ikhlas di peringkat akar umbi.

Ketika diamanahkan sebagai EXCO Negeri dan kemudian menerajui Invest Melaka di bawah Kerajaan Perpaduan, Ginie membawa masuk pelaburan sebenar yang menjana ekonomi rakyat, bukan sekadar janji kosong di atas kertas.
KEADILAN amat berbangga memiliki kepimpinan teknokratik yang cemerlang sebegini di Dewan Undangan Negeri. Memilih calon berkaliber seperti Ginie adalah manifestasi keyakinan rakyat terhadap masa depan Machap Jaya yang lebih progresif.
Kualiti kepimpinan yang sama ditonjolkan di DUN Paya Rumput melalui Datuk Azman Abidin. Pihak pembangkang giat melabel beliau sebagai calon luar semata-mata kerana latar belakang perkhidmatannya di peringkat Persekutuan.

Hujah itu jelas meleset. Datuk Azman sebenarnya anak kelahiran Melaka yang pulang membawa pengalaman pentadbiran tertinggi ke tanah tumpah darahnya sendiri untuk membangunkan rakyatnya.
Rekod perkhidmatan Datuk Azman amat cemerlang. Beliau pernah memegang jawatan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Ketua Cabang Bandar Tun Razak, hingga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri.
Mengapa pengalaman ini menjadi kelebihan besar buat Paya Rumput dan Melaka? Jentera pentadbiran awam digerakkan berdasarkan jaringan lobi dan kelulusan bajet pusat. Apabila isu sistem perparitan tersumbat, masalah tanah, atau lesen perniagaan rakyat tertangguh, wakil rakyat tanpa punca kuasa hanya mampu merungut di media sosial.

Sebaliknya, seorang pemimpin berkaliber seperti Datuk Azman boleh terus mengangkat telefon dan menyelesaikan masalah tersebut dengan pantas. Beliau membawa talian terus ke Putrajaya—satu leverage ampuh yang menjamin kesejahteraan warga Paya Rumput di bawah naungan Kerajaan Perpaduan.
Para pengundi di seluruh Melaka sememangnya mempunyai ruang untuk membuat penilaian. Pilihlah KEADILAN dan Pakatan Harapan; wadah yang mengutamakan calon berintegriti, bersih, dan membumi. Ketika rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup, barisan kepimpinan kita sentiasa fokus pada solusi, menolak individu yang sibuk menunjuk-nunjuk kemewahan atau mempamerkan gaya hidup berlebihan.
Tambahan pula, rakyat Malaysia sentiasa menjunjung tinggi kestabilan negara dan pastinya, rakyat harus menolak mana-mana pihak yang cuba menggulingkan takhta Raja-Raja Melayu demi memuaskan nafsu politik peribadi.

Penganalisis politik sering bertanya tentang kewajaran memilih parti alternatif yang tiada akses kuasa. Jawapannya mudah: memilih calon tanpa jaringan Persekutuan ibarat mengasingkan kawasan DUN sendiri daripada arus peruntukan kerajaan. Pengundi memerlukan wakil rakyat daripada KEADILAN di setiap DUN yang cekap menandatangani fail kelulusan dan membawa masuk pembangunan sejak hari pertama mereka mengangkat sumpah jawatan.
Politik perkhidmatan yang dibawa oleh KEADILAN terbukti mampu menyelesaikan masalah rakyat. Dengan meletakkan pemimpin berpengalaman seperti Datuk Azman Abidin di Paya Rumput, Ginie Lim di Machap Jaya, serta barisan calon berkaliber di seluruh kerusi pilihan raya, agenda ekonomi Melaka akan terus melonjak maju tanpa terganggu oleh birokrasi sempit.
Pilihan raya ini adalah detik penentu untuk melonjakkan kecemerlangan Melaka secara menyeluruh. Kemenangan besar buat KEADILAN dan Pakatan Harapan di Paya Rumput, Machap Jaya, dan seluruh DUN Negeri Melaka akan memastikan limpahan dana dan pembangunan Persekutuan terus mengalir tanpa henti untuk lima tahun akan datang.
Keputusannya terletak di tangan pengundi. “Melaka Rumah Kita” bukan sekadar slogan pilihan raya yang digantung di tiang-tiang lampu. Bumi Melaka ialah tanah bersejarah tempat kita pertama kali mendapat restu Kemerdekaan negara.
Melaka berupaya menjadi titik loncatan gemilang bagi seluruh rakyat Malaysia untuk menuntut Kemerdekaan sebenar daripada cengkaman politik retorik dan sempit, menuju masa depan yang lebih cemerlang bersama Pakatan Harapan.
Oleh Lai Chen Heng, pendukung idealisme agenda reformasi
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
