MCMC, SPRM Sepakat Perluas Kerjasama Penguatkuasaan, Pencegahan Rasuah Dan Teknologi
Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman pada majlis pertukaran MoU di ibu pejabat MCMC pada 2 Oktober 2026. Foto MCMC
CYBERJAYA, 2 Okt – Teknologi kecerdasan buatan (AI) yang sedang berkembang pesat, akan dimanfaatkan dua agensi utama kerajaan bagi mengesan, mencegah dan mengurus risiko salah guna kuasa serta penyelewengan secara lebih sistematik dan berkesan.
Perkara tersebut disepakati bersama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang penguatkuasaan, pencegahan rasuah dan pemerkasaan integriti, dalam mendepani cabaran kompleks dalam persekitaran digital.
Menerusi satu kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan, pertukaran MoU berkenaan melibatkan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman yang telah diadakan ibu pejabat MCMC di sini, hari ini.

Antara lain, kandungan MoU itu menekankan pendekatan rentas agensi yang lebih terselaras melalui perkongsian kepakaran dalam penguatkuasaan, penyiasatan, teknologi digital, pengurusan maklumat dan pencegahan rasuah, termasuk amalan terbaik berkaitan tadbir urus, integriti dan pengurusan risiko.
Ia jelas memberi fokus kepada koordinasi operasi penguatkuasaan melibatkan kedua-dua agensi bekerjasama memperkukuh ikhtiar pembanterasan rasuah dan urus tadbir lebih berkesan menggunakan sumber sedia ada.

Gabungan kekuatan rentas agensi seperti MCMC dan SPRM dijangka dapat memperhebatkan lagi ciri-ciri kerangka kawal selia dan pematuhan kod tatakeloa merangkumi aspek penyiasatan dan latihan sistematik bagi menyelesaikan sebarang isu berkaitan.
“Kedua-dua agensi juga akan memperluas kerjasama dalam pembangunan pengetahuan dan kemahiran melalui program advokasi, latihan, perkongsian ilmu dan pembangunan kapasiti, selain memanfaatkan teknologi termasuk AI.

“Ia bagi membantu mengesan, mencegah dan mengurus risiko salah guna kuasa serta penyelewengan secara lebih sistematik dan berkesan. Inisiatif berkaitan boleh diperluas kepada industri dan pihak berkepentingan berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Tambah MCMC, usaha tersebut dijangka meningkatkan kesiapsiagaan kedua-dua agensi dalam menangani risiko rasuah dan salah laku yang semakin kompleks, di samping menyokong akauntabiliti serta penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan.
“Selaras dengan peranannya sebagai penggerak ekosistem komunikasi dan multimedia negara, MCMC akan terus memainkan peranan pemudah cara dalam memperluas sinergi antara agensi ke arah budaya kerja yang lebih telus, beretika dan bertanggungjawab.

“Ia sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat, industri dan pelabur terhadap institusi awam serta ekosistem komunikasi dan multimedia negara,” menurut kenyataan itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
