MCMC Sasar 15 Juta Peranti Diurus Secara LESTARI Menjelang 2030

IMG_6983

Inisiatif LESTARI dirasmikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menyasarkan manfaat kepada 5 juta rakyat menerusi pelbagai program impak sosial, selain mengurangkan sisa elektronik (e-sisa) pada 28 September 2026. Foto Alyas Roy Haji Amir

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi agenda ‘LESTARI: Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030 (SFR2030)’ menyasarkan sebanyak 15 juta peranti diurus secara lestari dan mampan menjelang 2030.

Menurut MCMC, ia menerusi penggunaan semula, naik taraf, penggantian kepada teknologi lebih cekap serta kitar semula secara bertanggungjawab.

Katanya, inisiatif berkenaan turut menyasarkan manfaat kepada 5 juta rakyat menerusi pelbagai program impak sosial, selain mengurangkan sisa elektronik (e-sisa), memanjangkan hayat peranti dan memperluas akses kepada teknologi, khususnya dalam kalangan golongan rentan dan berpendapatan rendah.

“LESTARI, iaitu Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030 (Sustainability Framework and Roadmap 2030 – SFR2030) menetapkan hala tuju kelestarian sektor telekomunikasi, penyiaran serta pos dan kurier hingga 2030,” katanya dalam kenyataan.

Majlis pelancaran LESTARI disempurnakan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, di Kuala Lumpur, pada 28 September 2026. Foto MCMC

Majlis pelancaran LESTARI disempurnakan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, di sini, pada 28 September lalu.

Menerusi inisiatif itu, peranti yang masih boleh digunakan akan dibaik pulih dan digunakan semula bagi membantu mengurangkan kos pemilikan peranti, selain memperluas akses kepada teknologi.

Usaha berkenaan turut menyokong pengukuhan ekonomi kitaran menerusi pengurangan e-sisa serta penggunaan sumber secara lebih cekap.

Aspirasi kelestarian negara

LESTARI juga menyokong peralihan sektor komunikasi dan multimedia ke arah aspirasi pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050, selain memperkukuh usaha berkaitan kecekapan tenaga, penggunaan tenaga boleh baharu dan pengurangan pelepasan karbon.

Matlamat LESTARI menyokong peralihan sektor komunikasi dan multimedia ke arah aspirasi pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050. Foto MCMC

Rangka kerja itu menterjemahkan aspirasi kelestarian negara kepada tindakan pada peringkat sektor, selaras dengan Malaysia MADANI, Rancangan Malaysia Ke-13, National Energy Transition Roadmap (NETR), komitmen iklim Malaysia serta aspirasi mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih seawal 2050.

LESTARI dibangunkan bersama pemain industri menerusi sesi libat urus membabitkan 116 peserta daripada 47 organisasi.

Ia menyediakan hala tuju bersama bagi menggerakkan agenda kelestarian sektor komunikasi dan multimedia secara lebih tersusun serta bersepadu menerusi tiga teras utama.

Ciri-ciri utama LESTARI

Ia termasuk aspek Kelestarian Iklim dan Alam Sekitar yang memberi tumpuan kepada kecekapan tenaga, pengurangan pelepasan karbon, tenaga boleh baharu, ekonomi kitaran dan daya tahan infrastruktur, serta memperluas usaha pengumpulan, penggunaan semula dan kitar semula peranti secara lebih tersusun.

LESTARI memberi tumpuan kepada kecekapan tenaga, pengurangan pelepasan karbon, tenaga boleh baharu, ekonomi kitaran dan daya tahan infrastruktur. Foto MCMC

Selain itu, Impak Sosial dan Keterangkuman pula merangkumi aspek keterangkuman, keselamatan, kemahiran dan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Teknologi dan Inovasi memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi, kecerdasan buatan (AI) serta inovasi rendah karbon bagi mempercepatkan penyelesaian berkaitan kelestarian.

Pelaksanaan LESTARI akan dipantau secara berkala berdasarkan sasaran dan petunjuk yang ditetapkan bersama industri bagi memastikan setiap inisiatif mencapai hasil yang disasarkan.

Turut diperkenalkan ialah Net Zero & Circularity Alliance (NZCA), platform kerjasama industri bagi mengurangkan pelepasan karbon.

Sebagai tanda komitmen awal terhadap agenda kelestarian sektor komunikasi dan multimedia, 15 organisasi daripada pelbagai segmen ekosistem digital turut menandatangani ikrar sokongan kepada LESTARI dan NZCA.

Kerajaan bersedia meneliti cadangan industri bagi memahami keperluan mereka dan mengenal pasti bentuk kerjasama serta sokongan yang boleh mempercepatkan perubahan berkenaan. Foto MCMC

Percepat peralihan tenaga

Sementara itu, Fahmi berkata, kerajaan kini membuka ruang kepada pemain industri telekomunikasi, penyiaran, pos dan kurier mengemukakan cadangan bagi mempercepatkan peralihan tenaga dalam sektor masing-masing selaras dengan NETR.

Katanya, kerajaan bersedia meneliti cadangan industri bagi memahami keperluan mereka dan mengenal pasti bentuk kerjasama serta sokongan yang boleh mempercepatkan perubahan berkenaan.

“Jika anda mempunyai cadangan yang ingin kami perhati untuk bantu dan mempercepatkan perubahan anda menurut rancangan NETR, beritahu kami.

“Biar kami faham dan mari bekerja bersama. Bumi ini adalah milik kita semua, kita perlu memastikan untuk berjaya sebagai negara. Kita perlu menjaga bumi dan kita juga perlu menjaga satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata, usaha mempercepatkan peralihan tenaga memerlukan kerjasama pelbagai sektor kerana setiap industri mempunyai keperluan dan kesan berbeza terhadap penggunaan tenaga.

Katanya, sektor telekomunikasi antara yang perlu diberi perhatian berikutan keperluan tenaga bagi memastikan infrastruktur komunikasi negara terus beroperasi, termasuk di kawasan pedalaman.

“Dalam negara kita, untuk pastikan capaian internet dapat meliputi seluruh negara, setiap menara yang didirikan perlu tenaga dan ada dalam kalangan menara ini, terutama di kawasan pedalaman, tidak mempunyai akses kepada rangkaian grid.

“Tapi dilengkapkan dengan diesel generator. Barulah saya tahu, sewaktu saya menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Komunikasi, jumlah diesel yang diperlukan oleh satu-satu menara dalam satu-satu bulan bukan jumlah yang kecil,” katanya.

Katanya, Malaysia mungkin mempunyai kira-kira 60,000 menara telekomunikasi di seluruh negara, sekali gus menunjukkan skala penggunaan tenaga yang diperlukan bagi memastikan semua kekal beroperasi.

Oleh Ercy Garcella Ajos dan Aziem Ariffin

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *