MCMC, PDRM Ganding Bahu Banteras Jenayah Seksual Babit Kanak-Kanak Dalam Talian – Fahmi

MCMC, PDRM Ganding Bahu Banteras Jenayah Seksual Babit Kanak-Kanak Dalam Talian - Fahmi

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Teo Nie Ching menghadiri Majlis Jasamu Dikenang Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada 24 September 2026. Foto Kementerian Komunikasi

PUTRAJAYA, 24 Sep – Menyedari bahaya dan ancaman medium digital terutamanya kepada kanak-kanak serta melindungi mereka, dua agensi bekerjasama rapat bagi membendung gejala berkenaan dari terus menular dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus berganding bahu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperhebat usaha membanteras kegiatan jenayah berkenaan di media sosial.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, MCMC berperanan membantu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM khususnya bagi mengesan pihak yang menyalahgunakan rangkaian dan kemudahan komunikasi untuk melakukan jenayah.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menghadiri Majlis Jasamu Dikenang Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada 24 September 2026. Foto Kementerian Komunikasi

Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang menjadikan wanita dan kanak-kanak sebagai mangsa.

“Selain menjalankan tugasan agensi dari aspek teknikal dan forensik, MCMC juga melalui Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) memberi penegasan kepada platform-platform media sosial untuk memastikan persekitaran platform itu sentiasa selamat.

“Terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak bawah usia 18 tahun yang tidak dibenarkan membuka akaun media sosial. Ini bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa pedofil seperti yang telah ditangkap,” katanya.

Sebahagian daripada warga Kementerian Komunikasi hadir pada Majlis Jasamu Dikenang pada 24 September 2026. Foto Kementerian Komunikasi

Usaha bersepadu antara MCMC, PDRM dan penyedia platform digital ujar Fahmi amat penting bagi memastikan kandungan berbahaya dapat dikesan, diturunkan dan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pihak terbabit.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Jasamu Dikenang Kementerian Komunikasi di sini hari ini, yang menyaksikan seramai 157 pegawai menamatkan perkhidmatan wajib kerajaan.

Usaha membanteras jenayah itu tidak akan berjaya tanpa penglibatan semua pihak termasuk masyarakat prihatin termasuk mencegah jenayah berkenaan dari peringkat awal termasuk memperluas program Kempen Internet Selamat (KIS) bagi para pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar pada sidang media memaklumkan, lapan remaja antara 53 individu ditahan dalam Op Pedo Bersepadu PDRM-MCMC 3.0 pada 22 September 2026. Foto JSJ PDRM

Pada Selasa lalu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan, lapan remaja antara 53 individu ditahan dalam Op Pedo Bersepadu PDRM-MCMC 3.0 yang dilaksanakan di seluruh negara dari 14 hingga 16 September lalu.

Operasi turut menemukan 540,127 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak dan 113,066 fail pornografi dewasa.

PDRM memandang serius ancaman jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan menyeru masyarakat, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta pihak industri supaya bersama-sama mencegah, mengesan dan melaporkan sebarang bentuk eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web