MCA, MIC Bantu Kempen Calon PH Pada PRK Sungai Bakap – Musa

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di Jalan Besar malam ini.

NIBONG TEBAL, 9 Jun – Parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) MCA dan MIC Pulau Pinang berjanji akan membantu calon Kerajaan Perpaduan yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Jaminan itu dinyatakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di Jalan Besar malam ini.

Menurut Musa, seluruh jentera BN sudah bersiap sedia untuk memenangi calon daripada parti rakan kerjasama Kerajaan Perpaduan.

“Ada orang tanya saya sama ada MCA dan MIC akan turun padang bantu calon Perpaduan di Sungai Bakap. Suka saya tegaskan di sini bahawa satu pertemuan telah diadakan dengan MCA dan MIC dan saya beri jaminan mereka akan bersama-sama kita untuk menghadapi PRK ini.

“Kali ini kita akan kuburkan PN dan rampas Sungai Bakap daripada mereka. Kita akan mulakan semangat baru bersama satu jentera untuk menangkan calon Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Hadir sama Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta barisan kepimpinan tertinggi Perpaduan.

Pada Khamis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Kerusi DUN itu kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.

PRN Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

– Oleh Malinda Abdul Malik


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *