Manfaat Kewujudan Gudang Daiso Perluas Produk Tempatan Ke Pasaran Global – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan perasmian Pusat Pengedaran Global baharu Daiso Malaysia Group Sdn. Bhd. bernilai RM1.2 bilion di Pulau Indah, Klang pada 5 November 2026. Foto PMO
PELABUHAN KLANG, 5 Nov – Pembukaan pusat pengedaran global terbesar Daiso di Pulau Indah, di sini mampu membuka peluang lebih besar bagi pembekal tempatan serta meningkatkan kecekapan pengedaran produk tempatan ke pasaran global.
Justeru itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu lebih banyak produk buatan Malaysia menggunakan kemudahan logistik bersepadu itu bagi menambah kapasiti pengedaran selain memastikan kos penghantaran lebih berdaya saing.

“Dalam jangka panjang, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), kita berharap dapat melihat lebih banyak produk buatan Malaysia berada di rak Daiso di seluruh dunia,” katanya berucap pada majlis pembukaan rasmi pusat pengedaran global Daiso di sini, hari ini.
Anwar berkata, pelaburan berkenaan sudah membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk menyertai rantaian bekalan antarabangsa syarikat itu.

Malah, kesempatan itu wajar direbut bagi meningkatkan mutu produk masing-masing agar barangan buatan tempatan memenuhi setiap ruang di rak yang dikendalikan syarikat global itu.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta Pengerusi Daiso Malaysia Sdn. Bhd., Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Anwar turut meninjau kemudahan yang akan disediakan di gudang berkenaan yang mampu memenuhi keperluan industri logistik tempatan dan global dengan rangkaian meluas dan ketersediaan teknologi terkini bagi menyokong operasi harian.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, antara syarikat terbabit ialah PKT Logistics Group dan pengusaha logistik tempatan yang terbabit dalam operasi gudang bersepadu, kesediaan pengangkutan kargo serta koordinasi pengedaran.

“Ini membina keupayaan tempatan, menggalakkan pemindahan teknologi dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk golongan belia,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
