Malaysia, Uzbekistan Komited Berkongsi Amalan Terbaik Dalam Industri Pelancongan – PM Anwar

Delegasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan delegasi Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev yang berlangsung di Istana Presiden, Kuksaroy di Tashkent pada Jumaat. Foto Facebook Anwar Ibrahim

TASHKENT, 18 Mei – Adalah penting untuk mewujudkan hubungan antara kementerian dan agensi yang berwibawa di Malaysia dan Uzbekistan untuk bertukar-tukar amalan terbaik dalam pelaksanaan pemasaran komprehensif bidang pelancongan di kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev dalam kenyataan bersama Jumaat berkata dengan mengambil kira bahawa Malaysia adalah antara negara terkemuka dari segi menarik pelancong asing dan melaksanakan konsep pelancongan halal, terdapat keperluan untuk memperkenalkan piawaian pelancongan yang serasi dengan nilai-nilai Islam.

Delegasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan delegasi Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev yang berlangsung di Istana Presiden, Kuksaroy di Tashkent pada Jumaat. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Aliran pelancong dua hala yang semakin meningkat dinilai secara positif, dan trafik udara antara ibu kota terus meningkat, sekali gus mewujudkan penerbangan terus dari bandar-bandar utama Malaysia ke bandar Samarkand dan Bukhara, yang akan berfungsi mengaktifkan hubungan antara kelompok perniagaan dan meningkatkan aliran pelancong,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurutnya Malaysia mengalu-alukan penerbangan tetap sedia ada pergi dan balik ke Uzbekistan menerusi penerbangan Batik Air dan Uzbekistan Airways, dan berharap untuk menjadi hab pelancongan bagi rantau Asia Tengah ke Malaysia serta negara-negara ASEAN.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev yang berlangsung di Istana Presiden, Kuksaroy di Tashkent pada Jumaat. Foto Facebook Shavkat Mirziyoyev

Kedua-dua pemimpin turut menekankan bahawa oleh kerana kedua-dua negara dihubungkan oleh perkaitan sejarah, agama dan nilai kerohanian yang sama, kedua-dua negara bersetuju untuk meneruskan kerjasama berkesan antara pusat penyelidikan dalam mengkaji dan mempromosikan kekayaan warisan tamadun Islam.

“Kedua-dua pemimpin turut membincangkan kebimbangan mereka terhadap peningkatan sikap tidak bertoleransi terhadap agama dan Islamofobia yang telah dilihat di beberapa negara sejak kebelakangan ini, dan mereka bersetuju untuk mempromosikan secara meluas idea-idea toleransi dan keharmonian antara agama pada skala global, demi kebaikan ummah yang lebih besar,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dibawa memasuki Istana Presiden, Kuksaroy sebelum diberi penghormatan memeriksa kawalan kehormatan tentera sempena sambutan negara oleh Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev di Tashkent pada Jumaat. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Anwar tiba di sini Jumaat untuk lawatan rasmi tiga hari ke Uzbekistan buat julung kalinya.

Pada hari yang sama Anwar membuat kunjungan hormat keatas Mirziyoyev di Kuksaroy Presidential Residence di sini.

Dalam pertemuan selama sejam itu kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan antara Malaysia dan Uzbekistan di samping meneroka bidang kerjasama yang berpotensi.

Uzbekistan adalah persinggahan terakhir lawatan rasmi Anwar ke tiga negara Asia Tengah. Terdahulu beliau telah melawat Republik Kyrgyz dan Kazakhstan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *