Malaysia, Uzbekistan Boleh Jalin Perkongsian Strategik Dalam Bidang Baharu – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama sempena Forum Perniagaan Uzbekistan-Malaysia di Kompleks Pelancongan Laluan Sutera Samarkand, pada Sabtu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

SAMARKAND, 19 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dan Uzbekistan boleh menjalinkan perkongsian strategik khas dalam bidang baharu, khususnya yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam.

Perdana Menteri berkata kedua-dua negara majoriti Islam itu boleh bekerjasama sebagai pasukan yang kuat dalam pelbagai bidang yang mempunyai minat khusus umat Islam.

“Kerjasama bukan sahaja dalam hubungan baik pembangunan halal, pensijilan halal dan industri halal, malah kita boleh bekerjasama dalam budaya dan seni ke tahap yang diselaraskan oleh menteri kanan (dari kedua-dua negara),” katanya dalam ucapannya di Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Uzbekistan-Malaysian di Kompleks Pelancongan Laluan Sutera Samarkand, pada Sabtu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama sempena Forum Perniagaan Uzbekistan-Malaysia di Kompleks Pelancongan Laluan Sutera Samarkand, pada Sabtu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Kira-kira 200 syarikat dari kedua-dua negara menyertai forum perniagaan itu. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Jamshid Khodjaev.

Anwar berkata, Malaysia dan Uzbekistan juga boleh memberi tumpuan kepada pendidikan dan bidang baharu dalam digital, terutamanya kecerdasan buatan (AI).

“Keupayaan masa depan kita bergantung bagaimana kita membina kekuatan (bersama). Kita harus sentiasa berusaha untuk melengkapi di antara satu sama lain,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan daripada ahli perniagaan sempena Forum Perniagaan Uzbekistan-Malaysia di Kompleks Pelancongan Laluan Sutera Samarkand, pada Sabtu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Anwar kini berada di Uzbekistan untuk lawatan rasmi tiga hari setelah tiba di Tashkent pada Jumaat.

Antara anggota delegasi Malaysia dalam lawatan ke Uzbekistan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Hari ini merupakan hari terakhir Anwar berada di negara ini setelah melakukan lawatan ke tiga negara iaitu Republik Kyrgyz, Kazakshatan dan Uzbekistan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *