Malaysia Sasar Enam Daripada 10 Ahli KWSP Capai Simpanan Asas Menjelang 2030 – PM Anwar

Malaysia Sasar Enam Daripada 10 Ahli KWSP Capai Simpanan Asas Menjelang 2030 - PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Menara KWSP pada 8 Mei 2023. Foto Irfan Ruzaidi

KUALA LUMPUR, 29 Sep – Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan tahap Kecukupan Pendapatan Persaraan kepada enam daripada setiap 10 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mencapai penanda aras Simpanan Asas sebanyak RM390,000 pada usia 60 tahun menjelang 2030, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2026 anjuran KWSP di sini hari ini, Perdana Menteri berkata, pada masa ini, hampir empat daripada 10 ahli KWSP berada di landasan untuk mencapai penanda aras tersebut di bawah Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan KWSP.

“Ini merupakan satu kemajuan tetapi masih terlalu ramai rakyat Malaysia yang berisiko kehabisan simpanan sepanjang tempoh persaraan yang mungkin mencapai selama 20 hingga 25 tahun,” ujar Anwar.

Dividen 6.15 Peratus Cerminkan Kecekapan Pengurusan Pelaburan KWSP – PM Anwar

Ini kerana, sepanjang tempoh itu, pencarum mungkin berdepan masalah kesihatan yang memerlukan perbelanjaan besar dan berisiko habis dalam tempoh lima hingga 10 tahun pertama selepas bersara.

Dengan keadaan Malaysia menuju status negara menua menjelang 2045, asas kebajikan pesara dan baki simpanan persaraan memerlukan kaedah terbaik dalam menangani pertambahan warga emas yang turut berkait rapat dengan simpanan semasa.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Boleh Pindah Wang KWSP Kepada Pasangan, Anak

Dalam pada itu, KWSP kini mengubah pendekatan terhadap persediaan bersara dengan melihat simpanan bukan lagi sekadar jumlah yang perlu dikumpulkan, sebaliknya sebagai aliran pendapatan yang perlu bertahan sepanjang tempoh persaraan yang semakin panjang.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata Kerangka Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) melengkapkan usaha itu dengan menetapkan penanda aras jelas bagi Simpanan Asas, Simpanan Mencukupi dan Simpanan Dipertingkat.

Beliau berkata, RIA memberi gambaran jelas kepada ahli mengenai hubungan antara jumlah simpanan hari ini dengan pendapatan bulanan yang boleh disokong oleh simpanan berkenaan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web