Malaysia Gesa Amerika, Iran Hentikan Ketegangan Di Asia Barat – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pihak-pihak yang terlibat menghentikan serangan dari merebak ke negara-negara lain yang berisiko mengheret seluruh Asia Barat ke dalam konflik yang lebih dahsyat dan memusnahkan. Foto AFP
KUALA LUMPUR, 2 Sep – Malaysia menggesa Amerika Syarikat dan Iran menghentikan sebarang peningkatan konflik dan segera kembali kepada kaedah diplomasi serta persefahaman yang telah dicapai pada Jun lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di media sosial hari ini, Perdana Menteri menegaskan, konflik berkenaan hanya boleh diselesaikan melalui pendekatan politik dan diplomatik kerana dunia tidak seharusnya dipaksa menanggung akibat daripada perang serantau yang lebih luas.
“Saya amat prihatin dengan peningkatan semula ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran.
“Pertukaran serangan terbaharu, yang kini melangkaui pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan merebak ke negara-negara lain di rantau ini, berisiko mengheret seluruh Asia Barat ke dalam konflik yang lebih dahsyat dan memusnahkan,” katanya.
Beliau berkata, pihak yang mempunyai keupayaan terbesar untuk membentuk hala tuju keadaan ini memikul tanggungjawab khusus untuk mengamalkan sikap menahan diri dan menghalang peningkatan konflik daripada terus berlaku.
“Kedaulatan negara-negara lain tidak boleh diketepikan. Tiada objektif ketenteraan yang boleh dijadikan alasan untuk mendedahkan orang awam kepada konflik yang semakin meluas.
“Langkah-langkah ekonomi yang membebankan orang awam dan menjejaskan usaha diplomatik berisiko memburukkan lagi krisis ini, bukannya menyelesaikannya,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
