Mahasiswa Tolak Perasuah, Tuanku Muhriz Murka, Adakah Umno Masih Tak Sedar Diri?

IMG_8625

Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit, menyuarakan kebimbangan tentang rasuah serta sokongan kepada Najib Razak pada forum iFuture 2026 pada 13 Oktober 2026. Foto UMPSA

PENDAPAT, 20 Okt – Hanya dalam tempoh seminggu, dua peristiwa berasingan meletakkan Umno di bawah sorotan awam, atau lebih tepat lagi di bawah tekanan ekoran kebobrokan yang seakan tidak berpenghujung – prinsip melawan rasuah dan penderhakaan terhadap Raja-Raja Melayu.

Pertama, seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit, menyuarakan kebimbangan tentang rasuah serta sokongan kepada Najib Razak pada forum iFuture 2026 bersama pemimpin Umno. Dia dilaporkan dibuli dan diugut selepas itu.

Hingga Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengecam tindakan itu kerana mahasiswa tersebut tidak melanggar undang-undang dan Naib Canselor UM, Datuk Seri Prof Dr Noor Azuan Abu Osman menegaskan tiada tindakan tatatertib akan diambil.

Kedua, Tuanku Muhriz secara terbuka menegur Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, juga dari Umno, dengan kata-kata keras, kerana dilaporkan menghantar surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menyatakan baginda bukan lagi pemerintah negeri. Kemarahan baginda jarang dipamerkan di khalayak. Satu dunia terkejut tetapi kemurkaan baginda cukup wajar membuatkan Umno malu seluruhnya.

Pengkritik berhujah bahawa dua peristiwa ini menggambarkan masalah sama: kegagalan sebahagian pemimpin dan penyokong Umno menerima teguran.

Soalan seorang pelajar tentang integriti dibalas serangan peribadi hingga terbawa-bawa ke media sosial manakala krisis di Negeri Sembilan memperlihatkan keutamaan politik mengatasi adab terhadap institusi diraja.

Foto bersejarah buat kesekian kali, Tuanku Muhriz murka terhadap Ismail Lasim di Masjid Karah Beting, Kuala Pilah pada 16 Oktober 2026. Foto Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah

Namun, Umno bukan satu suara. Khairy Jamaluddin, pemimpin Umno sendiri, menegaskan salah laku tidak boleh dipertahankan walaupun melibatkan parti, dan kesetiaan tidak patut menyekat perbincangan mengenai rasuah.

Sebaliknya, Pengerusi Umno Johor, Onn Hafiz mengakui rasuah barah, tetapi memberi amaran terhadap pendakwaan terpilih dan menyifatkan perkembangan terkini sebagai penganiayaan politik. Umno juga menegaskan ia hanya memohon pengampunan diraja yang diperuntukkan Perlembagaan.

Justeru, soalan dalam tajuk ini lebih tepat ditujukan kepada mereka yang membuli mahasiswa dan mereka yang mengatasi adab terhadap baginda, hingga tentera siber dikerah mengecam semahu-mahunya dan tatasusila serta akhlak dikesampingkan.

Siapakah dalang di sebalik tentera siber menyerang Tuanku Muhriz selepas baginda murka terhadap Ismail Lasim di Kuala Pilah pada 16 Oktober 2026?

Apakah Umno di bawah mana-mana kepimpinan sekali pun ada ijtihad untuk berubah atau pengundi yang akan terus mengubah mereka seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15?

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *