Lori Terbalik Dekat Plaza Tol Jalan Duta, Pemandu Cedera

Tangkap layar video tular sebuah lori terbalik dalam kejadian berhampiran Tol Duta menghala utara, Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Seorang pemandu lori cedera selepas kenderaan dipandunya terbalik dan terbakar akibat kemalangan dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Duta menghala utara, di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut pada pukul 12.03 tengah hari tadi.

Katanya, seramai sembilan anggota bersama dua buah jentera keluaran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas digerakkan bagi memadam kebakaran.

“Setibanya di lokasi, terdapat sebuah lori telah mengalami kemalangan dan terbakar di bahagian hadapan.

“Kemusnahan kebakaran dianggarkan 50 peratus sebelum berjaya dipadamkan,” katanya hari ini.

Jelas kenyataan itu, mangsa seorang lelaki berusia 30-an yang juga pemandu lori mengalami kecederaan di tangan dan kepala diserahkan kepada petugas ambulans untuk mendapatkan rawatan.

“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan operasi tamat pada pukul 1.48 tengah hari. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” ujarnya.

Terdahulu, tular video berdurasi 43 saat memaparkan kejadian lori terbabit kemalangan sehingga menyebabkan tumpahan minyak diesel.

Beberapa kenderaan yang melintasi tumpahan minyak tersebut turut mengalami kebakaran di bahagian tayar sebelum bomba tiba memadamkan kebakaran.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *