Lori Tangki Terbakar, Lebuh Raya KL-Karak Sesak Teruk
Keadaan kenderaan lori tangki terbakar di Kilometer 34 arah Timur menghala Kuantan, petang 8 September 2026.
KUALA LUMPUR, 8 Sep – Pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) berdepan kesesakan sepanjang 4.6 kilometer susulan sebuah kenderaan dipercayai lori tangki terbakar di Kilometer 34 arah Timur menghala Kuantan, petang ini.
Berdasarkan maklumat trafik pada pukul 2.31 petang, kejadian itu menyebabkan lorong kiri lebuh raya berkenaan terhalang sekali gus mengakibatkan aliran trafik bergerak perlahan.
Laporan terkini menyebut, kesesakan turut berlaku di laluan bertentangan dipercayai akibat pemandu memperlahankan kenderaan bagi melihat insiden di hadapan.

Kejadian berkenaan turut mendapat perhatian pengguna media sosial selepas rakaman memaparkan asap hitam tebal dari sebuah kenderaan di laluan berkenaan tular di Threads.
@isskandarariffin menulis “awal bulan sampai hari ni, banyak dah rasanya jalan kl bentong – bentong kl ada kemalangan,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @mamuuuuuu_ mendakwa kenderaan yang terbakar itu merupakan sebuah lori tangki dan kejadian berlaku di sekitar Genting Sempah.
“Gila-gila lori tanker terbakar sekitar kawasan Genting Sempah hala Bentong,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna, @syakirasofy yang dipercayai turut terperangkap dalam kesesakan menyifatkan keadaan trafik di lebuh raya berkenaan sangat sesak.
“Ya Allah bang, patutlah jem gila. Aishh lebuh raya ni setiap minggu ada je benda berlaku,” tulisnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
