Lori Bawa 120 Tong Bahan Kimia Kemalangan Di SKVE, Sisa Zink Oksida Tumpah 30 Meter
Keadaan lori tangki membawa 120 tong bahan kimia di Kilometer A0.2 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghala ke Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) pada 1 Oktober 2026.
SHAH ALAM, 1 Okt – Sebuah lori yang membawa 120 tong bahan kimia dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer A0.2 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghala ke Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar menerusi kenyataan rasmi memaklumkan insiden berkenaan telah menyebabkan berlaku tumpahan bahan kimia jenis zink oksida sejauh kira-kira 30 meter.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Selangor menerima panggilan kecemasan pada jam 8.07 pagi sebelum jentera dan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Panglima Garang dikerahkan ke lokasi dan tiba pada jam 8.34 pagi.

Siasatan awal mendapati lori berkenaan membawa muatan 120 tong bahan kimia dengan berat setiap tong dianggarkan 200 kilogram. Kejadian berlaku apabila kunci penghadang kenderaan terbabit terbuka sewaktu melalui kawasan selekoh sehingga menyebabkan tong-tong asid berkenaan jatuh dan pecah di atas permukaan jalan.
Impak kejadian menyebabkan sisa bahan kimia mengalir ke dalam struktur parit lebuh raya di kawasan berhampiran.
“Anggota bomba bertindak menjalankan langkah penyekatan terhadap sisa cecair yang tumpah di dalam parit bagi membendung dan mengelakkan cecair berkenaan daripada terus mengalir serta merebak.
“Tindakan kawalan keselamatan dan kawalan tumpahan dilaksanakan secara teratur oleh pasukan bomba di lokasi kejadian,”
Kawalan keselamatan lokasi dan kerja-kerja penyahcemaran dikendalikan sepenuhnya oleh BBP Teluk Panglima Garang bagi memastikan tiada sebarang ancaman bahaya kepada persekitaran.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

