Lombong Emas Haram Runtuh, 11 Maut, 35 Hilang Di Sulawesi

Anggota pasukan penyelamat membawa mangsa terkorban dari tanah runtuh di kampung Tulabolo di Kabupaten Bone Bolango. Foto AFP

JAKARTA, 8 Jul – Sekurang-kurangnya 11 individu maut manakala 35 lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh selepas hujan lebat berhampiran lombong emas haram di pulau tengah Sulawesi, Indonesia, kata pegawai.

Lombong tidak berlesen adalah perkara biasa di seluruh kepulauan Asia Tenggara yang kaya dengan mineral. Kawasan tapak terbiar menarik penduduk tempatan untuk mencari hasil bumi seperti bijih emas namun mereka tidak menggunakan peralatan keselamatan yang sesuai.

Tanah runtuh melanda sebuah kampung terpencil di daerah Bone Bolango di wilayah Gorontalo lewat Sabtu selepas hujan lebat. Ia mengorbankan sekurang-kurangnya 11 dan menyebabkan lebih 12 yang lain masih belum dapat dikesan.

“Sepuluh individu maut. Mereka yang terselamat menunjukkan peningkatan ketara daripada lima kepada 20 orang,” kata ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan Heriyanto.

Beliau menambah bahawa seorang lagi yang maut masih belum dipindahkan dari lokasi bencana dan ia tidak termasuk dalam jumlah kematian manakala 35 individu lagi masih hilang.

Jumlah yang hilang meningkat kerana lebih ramai keluarga melaporkan saudara mereka tidak dapat dihubungi, kata Heriyanto.

Kebanyakan mangsa adalah pelombong manakala yang lain merupakan pengendali gerai berhampiran lombong.

“Ada juga yang membuka gerai jualan di sana. Bukan semua penduduk tempatan,” kata pegawai penyelamat itu.

Beberapa jambatan ke kawasan itu runtuh dan anggota penyelamat terpaksa ke lokasi bencana dengan berjalan kaki kerana kawasan itu sukar dimasuki kenderaan.

Sekurang-kurangnya 180 anggota penyelamat dikerahkan sebagai sebahagian daripada operasi menyelamat, termasuk pegawai polis dan tentera.

Indonesia terdedah kepada tanah runtuh berikutan musim hujan antara November dan April, tetapi kebiasaannya pada Julai merupakan musim kemarau. Tetapi bencana ini sangat jarang berlaku.

Pada Mei, sekurang-kurangnya 15 individu maut selepas tanah runtuh dan banjir di wilayah Sulawesi Selatan yang turut menghanyutkan berpuluh-puluh rumah dan jalan raya rosak.

Sebulan sebelum itu, tanah runtuh di wilayah sama turut mengorbankan 20 individu. – AFP


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *