Liverpool Terus Dirundung Malang

Penyerang Liverpool, Cody Gakpo menampan masuk gol kedua pasukannya ketika pemain Aston Villa, Emiliano Martinez, Diego Carlos dan Ezri Konsa hanya mampu memerhati pada aksi Liga Perdana Inggeris di Villa Park, Birmingham awal pagi tadi. Foto Reuters

BIRMINGHAM, 14 Mei – Pemain gantian dari Colombia, Jhon Duran menyumbat dua gol lewat membantu Aston Villa seri 3-3 dengan Liverpool di laman sendiri yang menyaksikan mereka berada di ambang layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Perlawanan yang bermula dengan penjaga gol Villa, Emiliano Martinez menjaringkan gol sendiri selepas hanya 62 saat berubah sebaliknya apabila Duran tampil untuk menyelamatkan tuan rumah dengan jaringan pada minit ke-85 dan 88.

Villa kini mengumpul 68 mata dengan berbaki satu perlawanan, lima mata di depan pasukan tangga kelima Tottenham Hotspur yang mempunyai baki dua perlawanan tetapi mesti menundukkan pemburu kejuaraan Manchester City awal pagi esok untuk kekal bersaing.

Penyerang Liverpool, Cody Gakpo menampan masuk gol kedua pasukannya ketika pemain Aston Villa, Emiliano Martinez, Diego Carlos dan Ezri Konsa hanya mampu memerhati pada aksi Liga Perdana Inggeris di Villa Park, Birmingham awal pagi tadi. Foto Reuters

Tottenham menamatkan musim mereka di kelab tercorot Sheffield United Ahad ini, manakala anak buah Unai Emery beraksi perlawanan terakhir mereka di kelab tangga ke-12 Crystal Palace.

Liverpool dihadiahkan gol pembukaan apabila pemain antarabangasa Argentina, Martinez gagal menangkap kemas hantaran silang Harvey Elliott sekali gus tertolak bola ke dalam golnya sendiri.

Ia gol sendiri ketiga dilakukan Martinez dalam Liga Perdana Inggeris (PL), lebih banyak berbanding mana-mana penjaga gol dalam sejarah pertandingan itu.

Villa, yang boleh memastikan tempat keempat jika menang, menyamakan kedudukan 10 minit kemudian menerusi Youri Tielemans sekembalinya pemain Belgium itu daripada berehat tiga perlawanan kerana kecederaan.

Penyerang Aston Villa, Jhon Duran (tengah) dalam laluan untuk menjaringkan gol ketiga pasukannya menentang Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris di Villa Park, Birmingham awal pagi tadi. Foto AFP

Kegembiraan mereka hanya seketika apabila Cody Gakpo menjadikan kedudukan 2-1 buat pelawat yang juga pasukan tangga ketiga pada minit ke-23, selepas semakan VAR kerana ofsaid dan Jarell Quansah kemudian menanduk masuk ke penjuru gol susulan sepakan percuma bagi gol pertamanya dalam PL pada minit ke-48.

Liverpool kelihatan akan meraih tiga mata pada perlawanan kedua terakhir buat pengurus Jurgen Klopp, aksi yang boleh berakhir dengan jaringan lebih besar bila mana kedua-dua penyokong pasukan kecewa terhadap keputusan VAR dan banyak peluang disia-siakan.

“Kami agak bernasik baik. Ia beberapa minggu yang sukar dengan pemain datang dan pergi beraksi dalam kesukaran,” kata kapten Villa, John McGinn kepada Sky Sports.

“Big Jhon kadang-kadang menggerunkan, dia pemain yang sukar anda tangani.

“Ada sesetengah daripada kami tidak pernah hampir beraksi dalam Liga Juara-Juara sepanjang karier kami. Pengurus mempunyai mentaliti tiada alasan. Ramai yang menyatakan kami tidak mampu dan kami bertindak dalam senyap. Kami berharap Manchester City berada di tahap terbaik esok.”

Elliott berasakan dia sudah menjaringkan gol keempat Liverpool tetapi dinafikan oleh bendera ofsaid dan kemudian Duran tampil serta mengubah perlawanan.

Gol penyamaan itu hampir mengejutkan dirinya sendiri, bola tertampan di kakinya susulan larian pantas Moussa Diaby sekali gus mengelirukan Alisson.

“Ia tidak memihak kepada kami. Kami bermain dengan bagus. Kami amat bagus, bermain dengan corak yang menarik dan mencetus banyak masalah,” kata Klopp, perlawanan terakhirnya bersama Liverpool menentang Wolves di Anfield.

“Mereka menjaringkan gol penyamaan dan saya sendiri tidak tahu bagaimana,” jelas pengendali dari Jerman itu.

“Kami mahu memenangi perlawanan ini. Apabila kami membenarkan lawan menjaringkan gol 3-2, ia benar-benar merumitkan. Itulah, itulah cerita perlawanan ini.” – REUTERS


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *