Lima Maut Feri Terbakar Waktu Malam Di Palawan

IMG_5587

Imej tangkap layar menerusi video edaran Pengawal Pantai Filipina (PCG) menunjukkan feri yang terbakar di luar pantai Palawan pada 9 September 2026.

MANILA, 10 Sep – Sekurang-kurangnya lima orang terkorban dan 87 lagi masih hilang selepas sebuah feri penumpang terbakar berhampiran kawasan tumpuan pelancong di wilayah Palawan, Filipina.

Menurut Pengawal Pantai Filipina, kebakaran di atas kapal M/V June Aster itu berlaku pada malam semalam kira-kira 2.2 kilometer di luar pantai.

Lima mangsa terkorban telah dibawa ke darat.

Video yang dikongsi oleh pengawal pantai di Facebook menunjukkan api di atas kapal berkenaan begitu marak.

Imej tangkap layar menerusi video edaran Pengawal Pantai Filipina (PCG) menunjukkan penumpang diselamatkan dari feri yang terbakar di luar pantai Palawan pada 9 September 2026.

Menurut jurucakap pengawal pantai, Kapten Noemi Cayabyab, berdasarkan data pelayaran, kapal tersebut membawa seramai 134 penumpang dan anak kapal.

“Berdasarkan data yang kami ada buat masa ini mangsa yang berjaya diselamatkan seramai 42 orang dan 87 orang yang belum ditemui.

“Daripada jumlah yang diselamatkan, 38 adalah penumpang dan empat lagi anak kapal,” katanya.

Tambahnya, pihak berkuasa masih belum dapat memperoleh maklumat daripada individu yang diselamatkan kerana belum sempat bercakap dengan mereka.

Operasi menyelamat mangsa yang hilang masih dijalankan. – AFP

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web