Lima Jam Kantoi Menipu, Syed Saddiq Akhirnya Mohon Maaf

Hantaran seorang pengguna di X yang melondehkan penipuan Syed Saddiq hingga terpaksa memohon maaf dan memadamkan hantaran terdahulu yang menjadi bahan ketawa warganet. Foto X Jalal Misai

KUALA LUMPUR, 10 Jul – Setelah lima jam selepas menafikan menipu untuk menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan 13 Triathlon Desaru 2024, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui beliau tersilap.

Dalam video Instagram Reel, bekas menteri belia dan sukan itu berkata, susulan perbincangan dengan penganjur, statusnya dalam perlumbaan itu ditukar kepada DNF (tidak tamat).

Akhirnya beliau memohon maaf dan mengakui terdapat kesilapan mengenai kedudukan ketiga pada acara 113 Triathlon Desaru 2024 yang berlangsung pada 6 dan 7 Julai lalu.

Syed Saddiq menerusi aplikasi X menjelaskan bahawa selepas merujuk kepada data jam pintar iWatch miliknya, terdapat catatan yang tidak jelas.

“Saya memohon maaf kepada komuniti Trithlon. Ya, saya seorang pendatang baru dan saya berharap dapat memperbaiki diri.

“Saya berjanji akan lebih berhati-hati pada masa akan datang dan akan bekerjasama rapat dengan komuniti untuk menjadi lebih baik kerana ini adalah sukan yang saya benar-benar cintai,” katanya.

Menerusi penjelasan sama, Syed Saddiq turut memuat naik kemas kini terbaru dengan data yang lebih terperinci selepas perlumbaan yang diperolehi daripada pasukan teknikal.

Sebagai contoh, iWatch mencatatkan beliau hanya berenang sejauh 100 meter (m), sedangkan perlumbaan sebenarnya adalah 2.25 kilometer (km).

Syed Saddiq menyertai 113 Triathlon Desaru 2024 pada hujung minggu lepas, melengkapkan perlumbaan dalam masa lima jam 44 minit, menurutnya di Instagram.

Beliau menafikan dakwaan seorang pengguna media sosial bahawa beliau ‘menamatkan acara berbasikal dengan hanya dua pusingan (60km)’, bukan tiga pusingan sejauh 90km seperti yang dikehendaki.

Pengguna media sosial berkenaan berkata, Syed Saddiq tidak mungkin melengkapkan acara tersebut dalam tempoh dua jam 37 minit, memandangkan beliau mengambil masa tiga jam 31 minit dalam acara sama ketika perlumbaan Ironman pada Mei.

Susulan itu, pengguna media sosial lain menggesanya menunjukkan data yang direkodkan pada aplikasi penjejakan larian dan berbasikal Strava.

Sebagai ‘respons’, Syed Saddiq menunjukkan rekod Strava yang merakam beliau menamatkan perlumbaan dalam masa lima jam 47 minit.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *