Lebih 200 Hilang Tempat Tinggal, 18 Rumah Terbakar

Situasi 18 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Kuala Abai, Kota Belud. Foto JBPM Sabah

KOTA BELUD, 10 Jul – Lebih 200 penduduk membabitkan 42 keluarga kehilangan tempat tinggal selepas 18 rumah mereka di Kampung Kuala Abai, di sini, musnah terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Syazwan Latun berkata, kesemua rumah jenis tidak kekal itu musnah sepenuhnya namun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang.

Katanya, kedudukan rumah di kawasan terbabit adalah rapat dan keadaan angin kuat semasa kejadian menyebabkan api marak dengan cepat sehingga memusnahkan semua rumah terbabit.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.43 petang sebelum 20 anggota dan pegawai bersama jentera dari BBP Kota Belud dan dibantu BBP Tuaran digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi segera melancarkan operasi mengawal api daripada terus merebak ke rumah berhampiran.

“Kebakaran dikawal jam 5.20 petang dan 18 rumah dilaporkan musnah terbakar manakala 35 rumah berjaya diselamatkan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran tiga pancutan dari sumber air jentera dan air terbuka.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Kerja-kerja memadam bara-bara api masih dijalankan.

“Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.

Operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kulambai dan Pangkalan Abai serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *