Lawrence Wong Sah PM Baharu Singapura Keempat, Hsien Loong Menteri Kanan

Timbalan Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat Singapura, Lawrence Wong, 51, (kiri) secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri republik itu yang baharu, pada Selasa. Foto The Straits Times

SINGAPURA, 15 Mei – Timbalan Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura, Lawrence Wong, 51, secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Republik itu yang baharu, sebentar tadi.

Majlis mengangkat sumpah itu dilakukan di hadapan Ketua Hakim Singapura, Sundaresh Menon dan Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam di Istana.

Turut mengangkat sumpah ialah barisan kabinet baharu termasuk bekas Perdana Menteri, Lee Hsien Loong serta Teo Chee Hean yang kini menjawat jawatan sebagai Menteri Kanan, dan Gan Kim Yong serta Heng Swee Keat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat Singapura, Lawrence Wong, 51, (kiri) secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri republik itu yang baharu, pada Selasa. Foto The Straits Times

Ahli ekonomi yang mendapat pendidikan di Amerika Syarikat (AS) itu dilihat secara meluas sebagai ahli media sosial yang bijak menangani krisis COVID-19 dengan berkesan apabila menyelia pasukan petugas pandemik kerajaan.

Beliau dipilih Hsien Loong pada 2022 daripada generasi baharu dalam kalangan penggubal undang-undang daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah tanpa gangguan sejak kemerdekaan pada 1965.

Pada 13 Mei lalu, Hsien Loong secara rasmi memaklumkan kepada Presiden, Tharman Shanmugaratnam mengenai hasratnya untuk meletak jawatan dan menasihati presiden untuk menjemput Wong, yang mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Parlimen membentuk kerajaan seterusnya.

Surat rasmi hasrat peletakan jawatan Hsien Loong kepada Tharman dan menasihatinya untuk melantik Wong sebagai Perdana Menteri baharu. Foto The Straits Times

Wong yang juga Ahli Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee, mendapat sokongan sebulat suara Ahli Parlimen PAP dan memaklumkan mengenai barisan Kabinet baharu beliau, yang juga mengangkat sumpah hari ini.

Selaku Perdana Menteri keempat dalam sejarah Singapura, beliau akan turut menggalas tanggungjawab mengetuai PAP pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *