Lawatan PM Anwar Eratkan Hubungan Malaysia-Kazakhstan, Teroka Sektor Baharu

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan lawatan rasmi ke tiga buah negara Asia Tengah bermula di Republik Kyrgyz, Kazakhstan dan Uzbekistan. Foto X Anwar Ibrahim

ASTANA, 15 Mei – Lawatan rasmi sulung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selama dua hari ke Kazakhstan bermula esok diyakini akan menjadi pencetus sinergi kepada hubungan lebih erat dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara yang terjalin sejak 32 tahun lepas.

Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan Mohd Adli Abdullah berkata kali terakhir Perdana Menteri Malaysia melawat negara Asia Tengah itu ialah pada 2014.

“Lawatan rasmi ini melambangkan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan kerjasama dua hala yang sedia terjalin sejak 16 Mac 1992 mencakupi pelbagai sektor.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan lawatan rasmi ke tiga buah negara Asia Tengah bermula di Republik Kyrgyz, Kazakhstan dan Uzbekistan. Foto X Anwar Ibrahim

“Ini termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, pelancongan, industri halal dan sebagainya demi manfaat bersama,” katanya kepada media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri di sini hari ini.

Mohd Adli berkata lawatan Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dijangka memberi peluang kerjasama bagi menerokai bidang dan sektor baharu seperti perbankan Islam, teknologi maklumat, industri dan ekosistem halal, perlombongan, tenaga boleh diperbaharui, farmaseutikal serta pembangunan infrastruktur.

Beliau berkata lawatan Perdana Menteri juga diharap akan mengalakkan Kazakhstan untuk menggunakan Malaysia sebagai pintu masuk ke negara ASEAN dan sebaliknya, lebih-lebih lagi dengan adanya penerbangan terus antara Kuala Lumpur dengan Almaty yang ditawarkan oleh dua syarikat penerbangan dari Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke Kazakstan Mohd Adli Abdullah pada sidang media bersama media Malaysia mengenai lawatan rasmi Perdana Menteri ke Kazakstan. Foto Bernama

“Sekarang ini ada empat penerbangan terus antara Kuala Lumpur dengan Almaty setiap minggu. Pada 2019, jumlah pelancong dari Kazakhstan ke Malaysia adalah seramai 18,138 dan jumlah itu bertambah 250 peratus atau peningkatan kira-kira 8,298 pada akhir tahun lepas,” katanya.

Selain itu, Mohd Adli berkata pemain industri halal di Malaysia boleh memanfaatkan pasaran halal di Kazakhstan kerana kira-kira 70 peratus daripada 20 juta penduduknya beragama Islam.

“Di negara ini ada 2,900 masjid, ada banyak pensijilan halal dengan dua daripadanya menggunakan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Association of Halal Industry of Kazakhstan (AHIK) dan Halal Damu,” katanya.

Menjelas lanjut mengenai lawatan Anwar esok, beliau berkata Perdana Menteri dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Nursultan Nazarbayev di sini pada 2.15 petang waktu tempatan (4.15 petang waktu Malaysia).

Beliau berkata delegasi Perdana Menteri akan disertai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar serta pegawai-pegawai kanan daripada kementerian dan agensi.

Mohd Adli berkata antara yang dijangka menyambut ketibaan Anwar ialah Perdana Menteri Kazakhstan Olzhas Bektenov, Timbalan Menteri Luar Negeri Kazakhstan Alibek Bakayev, Datuk Bandar Astana Zhenis Kassymbek selain beliau sendiri serta pegawai Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penghormatan memeriksa perbarisan kawalan kehormat sambil diiringi Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Japarov di Kediaman Negeri Ala Archa, Bishkek. Foto X Anwar Ibrahim

Beliau berkata sebaik tiba, Perdana Menteri dan delegasi akan singgah ke Astana Grand Mosque iaitu masjid terbesar di Asia Tengah dan antara yang terbesar di dunia serta menjadi pusat kegiatan keagamaan yang penting di bandar raya ini.

Selepas itu, Perdana Menteri akan disambut dalam Upacara Sambutan Rasmi oleh Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev di Istana Presiden (Akorda) disusuli dengan pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin dan mesyuarat membabitkan kedua-dua belah pihak.

“Satu dokumen Kenyataan Bersama akan diperakui selepas mesyuarat tersebut dan pada sebelah malam, Perdana Menteri dan delegasi bakal diraikan dalam satu majlis makan malam rasmi oleh Tokayev.

Sebelum mengakhiri lawatan rasmi dua hari itu, Perdana Menteri pada Khamis akan menyampaikan ucapan dalam Sesi Meja Bulat berkaitan kerjasama perdagangan dan pelaburan membabitkan kedua-dua negara yang bertujuan menyediakan platform bagi syarikat berpotensi dari Malaysia dan Kazakhstan untuk meluaskan kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan serta pelaburan.

Selain itu, Perdana Menteri akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan agensi berkaitan kerajaan serta syarikat perniagaan kedua-dua belah pihak.

“Kata kunci kepada lawatan rasmi ini ialah mengeratkan dan mengukuhkan lagi iltizam kita untuk tidak berpuas hati dengan tahap hubungan sekarang tetapi berusaha bersungguh-sungguh memantapkannya demi kesejahteraan kedua-dua negara dan rakyat, khususnya,” kata Mohd Adli.

Selepas Kazakhstan, Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi ke Uzbekistan.

  • Oleh Salawaty Supardi


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *