Lakar Sejarah, PM Anwar Ucap Tahniah Kepada Warga Hospital Seberang Jaya

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada warga Hospital Seberang Jaya (HSJ) atas kejayaan melakar sejarah sebagai hospital Tahap 2 pertama di Semenanjung menawarkan prosedur angiogram dan angioplasti pada 4 November 2026. Foto X Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 4 Nov – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada warga Hospital Seberang Jaya (HSJ) atas kejayaan melakar sejarah sebagai hospital Tahap 2 pertama di Semenanjung yang menawarkan prosedur angiogram dan angioplasti, sekali gus memperluas akses kepada rawatan jantung khusus untuk penduduk Seberang Perai dan kawasan sekitarnya.
Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri berkata, peluasan perkhidmatan itu dijangka dapat memendekkan tempoh menunggu serta mengurangkan keperluan pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Januari lalu, saya telah berkunjung ke HSJ untuk merasmikan bangunan baharu hospital ini. Perkembangan hari ini tentunya menggembirakan tatkala peningkatan fasiliti telah disusuli dengan peluasan rawatan kepakaran yang amat diperlukan penduduk Seberang Perai dan sekitarnya.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada doktor, jururawat, petugas kesihatan serta pengurusan hospital dan Kementerian Kesihatan (KKM) atas kejayaan ini. Kepakaran dan khidmat kalian memberi harapan kepada pesakit serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan kesihatan awam negara,” ujar Anwar.
Anwar berkata, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh keupayaan hospital awam supaya lebih ramai rakyat mendapat rawatan berkualiti dengan lebih pantas demi memelihara nyawa serta kesejahteraan rakyat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
