Lagi ADUN Pas Terengganu Kantoi!

B0B3C1BB-EDE5-438D-B59E-C3B670545C6C

KUALA TERENGGANU, 16 Mei – Belum reda dengan penyakit ‘langgar SOP’ seorang Exco Pas Terengganu, seorang lagi EXCO Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat dikompaun RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada pagi 1 Syawal.

Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri dikenakan tindakan kompaun itu semalam kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkaitan larangan aktiviti ziarah sempena Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata wakil rakyat itu dipanggil memberi keterangan selepas gambarnya melawat anak yatim dan memberi duit raya pada pagi Khamis tular di media sosial.

“ADUN Chukai terbabit hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman kira-kira jam 9 malam tadi dan dikenakan kompaun RM2,000 kerana melanggar SOP ditetapkan,” katanya ketika dihubungi di sini malam tadi.

Sementara itu, Hanafiah menerusi laman Facebooknya berkata, beliau reda apabila dikenakan kompaun kerana melanggar SOP.

“Saya menerima panggilan daripada seorang ibu mengatakan anaknya teringin makan sate pada pagi raya sebelum saya ke sana untuk menghantar hidangan itu bersama kuih dan duit raya untuk anak mereka.

“Ketika itu, ada dalam empat hingga enam rumah yang saya kunjungi untuk tujuan sama.

“Saya reda (dikenakan kompaun), sekurang-kurangnya saya boleh menjawab kepada Allah SWT (nanti), amanah yang orang letakkan ke atas saya sebagai wakil rakyat, saya sudah tunaikan permintaan mereka.

“Demi rakyat, saya rela berkorban, dikompaun,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu yang juga ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim dikenakan kompaun RM2,000 kerana menerima tetamu pada pagi 1 Syawal.

Masihkah rakyat Terengganu mahu memilih pemimpin yang suka melanggar undang-undang?