Lagenda Singapura Terpaksa Tunggu 33 Tahun Tewaskan Kedah 2-1

Pasukan Singapura menewaskan Kedah Darul Aman 2-1 pada perlawanan Langkawi Merdeka Cup Nostalgia 1993 di Stadium Langkawi pada 29 Ogos 2026.
LANGKAWI, 30 Ogos – Skuad legenda Singapura 1993 terpaksa menunggu 33 tahun sebelum menebus kekalahan kepada Kedah Darul Aman apabila menang 2-1 pada Langkawi Merdeka Cup Nostalgia (LMCN) 1993 di Stadium Langkawi, malam tadi.
Kemenangan itu sekali gus menobatkan Singapura sebagai juara kejohanan yang menemukan semula hampir 95 peratus pemain kedua-dua pasukan yang beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia edisi 1993.
Pada perlawanan akhir berlangsung di Stadium Merdeka 33 tahun lalu, Kedah menjulang Piala Malaysia selepas menewaskan Singapura 2-0.
Singapura membuka jaringan menerusi Saswadimata Dasuki pada babak pertama sebelum Lim Tong Hai menggandakan kelebihan pada separuh masa kedua. Gol tunggal Kedah dijaringkan Mohd Nidzam Adzha.
Barisan legenda Kedah menampilkan Azmi Mahmud sebagai penjaga gol, selain Tibor Szaban, V Thinagaran, Farouk Ismail, Lee Tiong Kim, Olubunmi Adigun, Mohd Nidzam, Faridzuan Che Hamid, Fariza Ismail, Syed Alwi Syed Abdullah dan kapten, Radhi Mat Din.
Singapura pula mempertaruhkan Mohamed Bashir Khan sebagai penjaga gol bersama Saswadimata, Siva Kumar, Razali Saad, E Manimohan, Yahya Madon, Lim Tong Hai, Abbas Saad, Malek Awab, Steven Tan dan kapten, Fandi Ahmad.
Pertemuan nostalgia itu turut menyaksikan Robert Alberts dan P N Sivaji kembali membimbing pasukan masing-masing di hadapan kira-kira 10,000 penonton.
Sementara Penaung Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBMK), Datuk Zuraidi Rahim, turut diturunkan sebagai pemain gantian Kedah untuk beberapa minit bagi memeriahkan perlawanan yang menampilkan aksi menarik dengan kemahiran masih berbisa.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

