Kurang Pemangkin Baharu Heret Bursa Malaysia Ditutup Rendah

Pada jam 5 petang 28 September 2026, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.60 mata atau 0.09 peratus kepada 1,670.22 daripada 1,671.62 ketika ditutup pada Jumaat. Foto Ahmad Ukasyah
KUALA LUMPUR, 28 Sep – Bursa Malaysia ditutup rendah pada Isnin dalam persekitaran aktiviti penjualan berikutan pasaran kekurangan pemangkin baharu untuk merangsang minat beli pelabur, kata penganalisis.
Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.60 mata atau 0.09 peratus kepada 1,670.22 daripada 1,671.62 ketika ditutup pada Jumaat.
Indeks utama itu dibuka 0.93 mata lebih tinggi pada paras 1,672.55 dan bergerak dalam julat antara 1,668.61 hingga 1,674.11 sepanjang sesi dagangan.
Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung dengan 748 berbanding 388, manakala 517 kaunter tidak berubah, 1,271 tidak diniagakan dan 91 digantung dagangan.
Jumlah dagangan susut kepada 3.11 bilion unit bernilai RM2.40 bilion berbanding 4.07 bilion unit bernilai RM2.69 bilion pada Jumaat.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata firma pembrokeran saham itu mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap pasaran memandangkan faktor luaran yang mencabar secara berterusan serta aktiviti penjualan oleh pelabur asing mungkin mengehadkan potensi kenaikan dalam tempoh terdekat.
“Bagaimanapun, pembetulan pasaran baru-baru ini telah menjadikan penilaian saham mewah terpilih pada tahap lebih menarik, ia mungkin menggalakkan aktiviti pembelian saham pada harga rendah, terutamanya bagi saham-saham berwajaran tinggi yang mempunyai asas kukuh.
“Justeru, kami menjangkakan aktiviti dagangan kekal selektif, dengan minat belian berkemungkinan muncul sekiranya pasaran terus lemah,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, beliau menjangkakan indeks FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,660 hingga 1,690 mata pada minggu ini.
Ketua Penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd, Kenneth Leong pula berkata tumpuan pasaran juga akan terarah kepada data kekosongan jawatan dan keyakinan pengguna Amerika Syarikat (AS), dijadualkan dikeluarkan esok, memandangkan ia boleh mempengaruhi jangkaan terhadap hala tuju dasar Rizab Persekutuan (Fed) AS serta selera risiko global.
“Bacaan data lebih rendah daripada jangkaan mungkin memberikan sedikit kelegaan kepada pasaran ekuiti, namun tanda-tanda permintaan tenaga kerja yang berdaya tahan atau sentimen pengguna yang semakin lemah boleh meningkatkan ketidaktentuan pasaran,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut enam kepada RM10.16, Public Bank merosot satu sen kepada RM4.79, CIMB menambah sembilan sen kepada RM7.99, Tenaga Nasional menokok dua sen kepada RM13.16 dan IHH Healthcare menambah dua sen kepada RM8.01.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 1.69 bilion unit bernilai RM2.05 bilion daripada 2.53 bilion unit bernilai RM2.24 bilion pada Jumaat. – Bernama
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



