Kunjungan Ke China Buka Ruang Perluas Kerjasama Strategik – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keyakinan bahawa persahabatan Malaysia-China akan terus membuka peluang baharu dalam pelbagai bidang. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 29 – Sepanjang tiga hari kunjungan ke China dari 22 hingga 24 September lalu sebenarnya membuka ruang kepada Malaysia untuk meneroka dan memperluas kerjasama strategik berlandaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara yang semakin erat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di platform media sosial hari ini, Perdana Menteri menzahirkan keyakinan bahawa persahabatan Malaysia-China akan terus membuka peluang baharu dalam pelbagai bidang, sekali gus membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara.
Hantaran berkenaan turut memuat naik klip video berdurasi dua minit 57 saat yang memaparkan sorotan lawatan kerja Perdana Menteri ke negara tembok besar itu, berlatarbelakangkan lagu popular berbahasa Mandarin, Tian Xia atau ‘seluruh dunia’ nyanyian Jason Zhang.
Anwar mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou bermula 22 September lalu atas undangan rakan sejawatnya, Li Qiang yang merupakan lawatan kali keempat beliau sejak menjawat jawatan Perdana Menteri pada November 2022.

Lawatan itu memberi tumpuan kepada dua agenda utama, iaitu menghadiri Pertandingan WorldSkills Shanghai 2026 di Shanghai dan Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) di Hangzhou.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
