Kuasai AI Tanpa Perlu Korbankan Nilai Agama, Sahsiah Umat – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66 di Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2026. Foto Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
KUALA LUMPUR, 6 Okt – Kewujudan bidang kecerdasan buatan (AI) perlu dikuasai umat Islam tanpa mengorbankan nilai agama, akhlak dan sahsiah diri dalam mengejar kepesatan teknologi.
Berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTQHA) Ke-66 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, malam ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, umat yang mengetepikan teknologi AI berisiko tercicir dalam arus perubahan dan kemajuan dunia.

Bagaimanapun Perdana Menteri menegaskan, menguasai teknologi AI bukan bererti mengambil sepenuhnya fahaman atau segala acuan yang datang dari negara asing dan Barat.

“Jangan kerana mengejar ilmu dan teknologi baharu, kita meninggalkan akhlak serta sahsiah. Perubahan dan kemajuan tidak seharusnya menyebabkan kita lari daripada semangat serta nilai yang menjadi pegangan kita.
“Pada masa sama, kita perlu kembali kepada kejituan ilmu dengan membina kefahaman yang mendalam dan tidak mudah menerima pandangan yang mendorong kepada sikap pantas menghukum,” katanya.

Anwar berkata, umat Islam dalam masa yang sama tidak boleh meminggirkan turath, iaitu khazanah keilmuan yang diwarisi daripada ulama terdahulu hanya kerana kermunculan tokoh atau pemikiran baharu.
Mengenai bentuk pendekatan dakwah dalam kalangan umat Islam, Anwar menjelaskan, ia mesti dicetuskan dengan semangat kasih sayang, bukan dengan sikap mendabik dada agar dapat membawa manusia kembali kepada kefahaman, akhlak terpuji dengan berasaskan rahmah.

“Dakwah yang berteraskan rahmah bukan sekadar slogan atau keadaan biasa, sebaliknya mempunyai makna yang sangat mendalam.
“Dalam suasana dunia yang semakin hiruk-pikuk dan penuh perpecahan, kita perlu memastikan dakwah tidak menyebabkan manusia semakin jauh dan tersasar, “jelasnya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
