Krisis Negeri Sembilan: Usah Ambil Enteng Amaran PM Anwar

Krisis Negeri Sembilan: Usah Ambil Enteng Amaran PM Anwar

Ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kita bahawa institusi beraja tidak seharusnya diheret ke dalam kancah polemik politik kepartian atau kepentingan jangka pendek yang menggugat integriti sistem beraja itu dalam jangka masa panjang. Foto PMO

PENDAPAT, 26 Sep – Amaran tegas yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai implikasi runcing krisis institusi takhta seperti yang berlaku di Negeri Sembilan usah diambil enteng malah wajar dijadikan iktibar mendalam oleh semua pihak.

Kemelut yang menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bukan sahaja menguji kestabilan politik negeri adat perpatih itu, malah membawa ancaman sistemik yang mampu menggugat kerangka asas Perlembagaan Persekutuan serta sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi tiang seri keamanan negara.

Sistem Raja Berpersekutuan di Malaysia bertapak atas asas muafakat, keluhuran undang-undang, serta penghormatan mutlak terhadap sempadan kuasa yang telah ditetapkan.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO) berkuat kuasa serta-merta pada 20 September 2026.

Apabila konflik institusi kepimpinan tertinggi negeri berlarutan, terutamanya yang melibatkan pertikaian antara prerogatif diraja, bidang kuasa adat, dan pentadbiran eksekutif, ia membuka ruang kepada ketidaktentuan pentadbiran yang boleh melumpuhkan fungsi kerajaan negeri. Keadaan ini secara langsung mencetuskan krisis keyakinan awam dan dikhuatiri meretakkan perpaduan sosial.

Ketegasan Perdana Menteri mengingatkan kita bahawa institusi beraja tidak seharusnya diheret ke dalam kancah polemik politik kepartian atau kepentingan jangka pendek yang menggugat integriti sistem beraja itu dalam jangka masa panjang.

Itu belum lagi dikira ulasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengesahkan polis menerima dua laporan daripada Ismail berhubung dakwaannya dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz.

“Saya boleh sebut ada dua laporan polis dibuat oleh Menteri Besar… menjadi kewajipan kita apabila menerima satu laporan, kita akan klasifikasikanlah tentang predikat dan hala tuju siasatan.

“Saya serahkan kepada PDRM untuk kendalikan aduan itu,” katanya.

Menurut Saifuddin, polis akan menentukan klasifikasi, hala tuju serta skop siasatan yang sewajarnya dan menjalankan siasatan secara profesional mengikut saluran undang-undang, yang membawa kepada penegasan melindungi hak semua pihak di sisi undang-undang.

Kelangsungan negara berdaulat amat bergantung pada sejauh mana kita mempertahankan kewibawaan institusi beraja sebagai Payung Negara yang bebas daripada sebarang unsur perpecahan demi menjamin kestabilan masa depan Malaysia. Foto PMO

Apa sekali pun, sebarang usaha merintis jalan penyelesaian mesti berpaksi kepada saluran undang-undang yang sah, kebijaksanaan rundingan, serta pematuhan penuh terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Mengambil iktibar daripada amaran ini bermaksud seluruh rakyat dan pemimpin wajib menolak sebarang tindakan radikal yang boleh mencabar keutuhan institusi diraja.

Kelangsungan negara berdaulat amat bergantung pada sejauh mana kita mempertahankan kewibawaan institusi beraja sebagai Payung Negara yang bebas daripada sebarang unsur perpecahan demi menjamin kestabilan masa depan Malaysia.

Ingatlah titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 1980 dan diulangi sekali lagi pada 2009 bahawa adalah satu kesilapan untuk menganggap kuasa Raja sama dengan presiden yang tertakluk semata-mata kepada perlembagaan.

Peranan sebenar raja pemerintah, titah baginda, jauh mengatasi apa yang tersurat di dalam Perlembagaan.

Baginda mengingatkan jika prinsip asas itu tidak dipatuhi lagi dan mahu diketepikan kerana pengaruh budaya luar yang cuba diserapkan, dikhuatiri negara akan terheret kepada satu anarki.

“Akhirnya kelangsungan sejarah negara bangsa, keamanan dan kesejahteraan akan tinggal sejarah,” titah baginda.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web