Krisis Negeri Sembilan: Ismail Menghadap Tuanku Muhriz Di Istana Hinggap

Krisis Negeri Sembilan: Ismail Menghadap Tuanku Muhriz Di Istana Hinggap

Kenderaan membawa Ismail dilihat memasuki pekarangan istana kira-kira 10.50 pagi diiringi beberapa kenderaan dipercayai membawa Undang Luak Sungai Ujong, Faris Johari dan Undang Luak Rembau, Hassan Ab Hamid. Foto Astro Awani

SEREMBAN, 29 Sep – Kemelut antara Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim dengan pemerintah dilihat mulai kendur apabila Adun Juasseh itu tiba di Istana Hinggap, di sini, pagi ini untuk menghadap Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Kenderaan membawa Ismail dilihat memasuki pekarangan istana kira-kira 10.50 pagi diiringi beberapa kenderaan dipercayai membawa Undang Luak Sungai Ujong, Faris Johari dan Undang Luak Rembau, Hassan Ab Hamid.

Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad juga berada di istana, lapor The Star.

Kenderaan dipercayai membawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dilihat memasuki Istana Hinggap, Seremban pada 29 September 2026. Foto Astro Awani

Perkembangan itu berlaku dua hari selepas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Ismail menghadap Tuanku Muhriz serta empat Undang bagi mencari penyelesaian secara baik terhadap krisis yang sedang melanda negeri itu.

Awal bulan ini, barisan exco Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan yang dikatakan mengesahkan satu proklamasi bagi menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar. Ismail kemudian menyokong kenyataan itu sehari selepasnya.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata kenyataan berkenaan tidak sah kerana menteri besar dan exco tidak mempunyai kuasa untuk membuat pengisytiharan sedemikian.

Warta pembatalan 10 bekas Exco Negeri Sembilan yang disiarkan pada 24 September 2026.

Tuanku Muhriz pula membatalkan pelantikan 10 ahli exco selepas mereka didapati melanggar sumpah jawatan dan ikrar taat setia kepada pemerintah negeri.

Sehingga nama Exco baharu dipersembahkan kepada Baginda, hanya Ismail seorang sahaja yang terpaksa mengurus negeri.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web