KPM Prihatin Dan Komited Atasi Isu Kekurangan Guru – Fadhlina

PUTRAJAYA, 17 Nov – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian isu kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta dakwaan kesilapan data rasmi KPM seperti yang dilaporkan oleh media.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, isu kekurangan guru adalah isu yang sedang berlaku di semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK), SJKC dan SJKT dan ia bersifat sementara.

Jelasnya keperluan guru baharu sekolah rendah direncana berdasarkan kepada kekosongan perjawatan mengikut opsyen serta guru masuk dan keluar daripada sistem mengikut opsyen keluaran latihan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP). 

Strategi bagi mengatasi isu ini dilakukan secara jangka pendek, sederhana dan panjang. Ini termasuk menerusi lantikan Contract of Service (COS), Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) dan PISMP. 

“Pengambilan guru melalui PISMP dilakukan secara berterusan bagi mengisi kekosongan di semua jenis sekolah melibatkan semua opsyen mata pelajaran termasuk Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.”

Jelasnya lagi dalam satu kenyataan isu ini telah dibincangkan dalam beberapa sesi libat urus hala tuju pendidikan bersama SJKC dan SJKT sepanjang tahun ini. KPM sentiasa prihatin mengenai perkara ini dan memastikan kebimbangan setiap pemegang taruh ditangani dengan wajar.

Menurut beliau, KPM telah melaksanakan semakan daftar opsyen melalui proses penandaan opsyen (retagging) guru opsyen Bahasa Cina di semua sekolah. Setiap proses berkenaan unjuran guru dilaksanakan dengan teliti bersandarkan kepada data yang telah disahkan serta menerusi sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

“Intervensi ini penting bagi memastikan hanya data rasmi dan tepat yang dijadikan rujukan berkaitan unjuran kekurangan guru bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat.”

“KPM bersama-sama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan isu kekurangan guru di semua jenis sekolah dapat diatasi.”

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *