KPM Komited Teruskan Pembinaan SKJT Sungai Bakap – Fadhlina

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berucap pada Sembang Durian YBs di Singai Bakap, pada Khamis. Foto Bernama

NIBONG TEBAL, 4 Jul – Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk meneruskan projek pembinaan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Sungai Bakap di sini yang telah lama tertangguh, demi kebaikan komuniti itu.

Menteri berkenaan, Fadhlina Sidek berkata, projek itu dalam proses untuk diangkat semula termasuk mengemas kini kertas-kertas dokumentasi di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Kita tahu sekolah ini telah tertangguh begitu lama jadi banyak proses yang harus diselesaikan termasuk isu tanah dan hutang tetapi kita memang mengambil tanggungjawab sepenuhnya (untuk menyiapkan pembinaan),” kata beliau ketika ditemui Bernama pada Program Sembang Durian YBs berhampiran Balai Polis Sungai Bakap, di sini pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Malam Kasih Bersama Pemimpin di Sungai Kechil di sini menyuarakan harapan agar pembinaan sekolah Tamil itu dapat diteruskan.

Fadhlina berkata, apa yang diharapkan oleh Timbalan Perdana Menteri itu tidak jauh dengan komitmen yang sedang dilaksanakan KPM, malah sebelum ini sebuah jawatankuasa khas diwujudkan untuk memantau pembinaan sekolah tersebut.

Bagi komitmen di pihaknya sendiri, beliau sebagai Ahli Parlimen Nibong Tebal telah memperuntukkan RM50,000 untuk dana pemula pembinaan sekolah itu, katanya.

Kebersamaan semua kaum menjadi kekuatan Cikgu Joohari bertemu rakyat tidak kira di mana sahaja di ceruk DUN Sungai Bakap.

Sehubungan dengan itu, beliau percaya isu pembinaan sekolah berkenaan tidak akan menjadi faktor yang menyebabkan peratusan keluar mengundi kaum India pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Sabtu ini rendah, sepertimana didakwa sesetengah pihak.

“Isu ini telah pun kita (KPM) jelaskan sebelum pilihan raya lagi dan komitmen kami telah pun bermula dari tahun lepas sehingga tahun ini untuk memastikan sekolah ini benar-benar dapat disiapkan.

“Malah kita juga mendapat dokongan daripada semua pihak termasuk JPN, PPD dan ibu bapa, jadi saya tidak fikir kenapa masyarakat India perlu protes (undi) kerana ini untuk kebaikan mereka juga dan sekolah ini mesti menjadi sebahagian daripada agenda pendidikan masyarakat India,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap Sabtu ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. – Bernama


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *