KPM Digesa Pantau Kakitangan Tak Sokong Kerajaan Perpaduan

Perwakilan Johor yang juga Ketua Wanita Cabang Kluang Haryati Abu Nasir.

PUTRAJAYA, 26 Nov – Seorang perwakilan Kongres Nasional Nasional Tahunan KEADILAN 2023 hari ini meminta Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan jawatankuasa pemerhati untuk memantau kakitangan yang tidak menyokong Kerajaan Perpaduan.

Perwakilan Johor, Haryati Abu Nasir yang juga Ketua Wanita KEADILAN Cabang Kluang ketika membahaskan ucapan dasar presiden, berkata situasi itu dilihat kian membimbangkan, sekali gus langkah segera perlu diambil.

“Kami mohon Kementerian Pendidikan, mungkin baik andainya diwujudkan jawatankuasa pemerhati kerana ada fenomena dalam kalangan kakitangan yang membimbangkan yang tidak menyebelahi Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Ditemui pemberita kemudian, Haryati menjelaskan, ia hanyalah cadangan daripada KEADILAN Johor kerana wujud kebimbangan ada dalam kalangan penjawat awam menentang Kerajaan MADANI.

“Jawatankuasa yang dicadangkan adalah untuk memantau dan mengenal pasti isu yang menyebabkan kumpulan itu menentang kerajaan. Ia untuk memerhati, membendung dan mengkaji, mungkin ada benda-benda yang boleh diperbetulkan, ditambah baik.

“Maksudnya secara keseluruhan kerana sebenarnya, kakitangan awam masih ada belum menyokong (Kerajaan Perpaduan). Kalau boleh, kita mahu mereka beri sokongan sewajarnya sebab mereka penjawat awam, sepatutnya kenalah sokong,” katanya.

​Dalam ucapannya juga, beliau turut membangkitkan isu mengenai sesetengah pegawai kepada menteri yang dilihat ‘lebih sibuk’ berbanding menteri yang diakui berjaya melaksanakan tugas masing-masing dengan baik.

“Apa yang dikesali, ramai akar umbi mengadu dan mendakwa pegawai kepada menteri ‘lebih sibuk’ daripada menteri,” katanya turut memaklumkan, KEADILAN masih terpinggir di Johor walaupun wujud kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri.

Haryati berkata, pihaknya sedar KEADILAN hanya mempunyai satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, yang menyebabkan suara parti diketepikan, namun ia menyumbang tujuh kerusi Parlimen di peringkat Persekutuan.

Perwakilan Johor yang juga Ketua Wanita Cabang Kluang Haryati Abu Nasir.

“Tampuk kepimpinan diterajui insan hebat, Perdana Menteri kita (Datuk Seri Anwar Ibrahim), tapi kami di akar umbi masih tercari-cari kemanisannya.

“Semoga ada sinar dengan usaha di peringkat tertinggi untuk mengangkat suara kami dan bawa naratif perjuangan jelas di wilayah Selatan. Semoga Johor tetap menjadi kubu terkuat mendepani asakan musuh kita, Perikatan Nasional (PN),” katanya.

​Sementara itu, perwakilan Pahang, Mohd Rafly Mohd Satar pula meminta KEADILAM mengorak langkah pantas dan mempunyai cita-cita menjadi parti dominan dalam kerajaan pada masa akan datang.

“Kita perlu berfikir secara besar, perlu ada cita-cita untuk menjadi parti yang dominan dalam pentadbiran negara pada masa akan datang. Kita mesti mengorak langkah dengan pantas dalam memastikan parti kita dapat terus menarik minat dan sokongan semua rakyat terutama penduuk kampung dan pedalaman,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *