KPDN Sabah Rampas Lebih 7,000 Liter Diesel Subsidi Di Penampang

Pasukan KPDN Sabah berjaya merampas lebih 7,000 liter diesel bersubdisi di sebuah lot tidak bernombor di Penampang semalam. Foto KPDN Sabah

KOTA KINABALU, 10 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan iaitu minyak diesel dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor di kawasan Minintod, Jalan Panglima Banting, Penampang.

Pengarah KPDN Negeri Sabah Georgie Abas berkata, serbuan dijalankan sekitar jam 4.30 petang pada 9 Mei 2024.

“Pasukan serbuan telah menjumpai dan menyita sebanyak 7,380 liter minyak diesel iaitu dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC) dalam sebuah Van jenama Toyota (180 liter), skid tank 1 (800 liter) dan skid tank 2 (6,400 liter).

Pasukan KPDN Sabah berjaya merampas lebih 7,000 liter diesel bersubdisi di sebuah lot tidak bernombor di Penampang semalam. Foto KPDN Sabah

“Ia disyaki untuk dijual kepada industri berserta hos getah dan mesin pam yang disyaki digunakan untuk menyeleweng dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM57,067.

“Seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai penjaga stor di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, risikan telah dijalankan selama seminggu oleh KPDN Sabah sebelum serbuan dijalankan.

Katanya, berdasarkan keterangan awal, premis stor tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan minyak diesel di lokasi berkenaan.

“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat berdasarkan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel dengan tujuan melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Siasatan juga akan dilakukan berdasarkan Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya.

Katanya, berdasarkan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta.

Manakala katanya, bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“KPDN Negeri Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran berikut: WhatsApp iaitu 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800, dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *