KPDN Patahkan Kegiatan 4,000 Liter Petrol Cuba Diseleweng

Minyak petrol yang dibawa menggunakan kereta dirampas dalam kejadian itu serta rampasan di jeti Kampung Tampi-Tampi.

SEMPORNA, 11 Jul – Lebih 4,000 liter minyak petrol disyaki cuba diseleweng berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah jeti tidak berdaftar di Kampung Tampi-Tampi, di sini, semalam.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna, kira-kira jam 5 petang.

Ketua KPDN Cawangan Semporna, Jong Jee Leong berkata, serbuan itu dilakukan berdasarkan hasil risikan selama seminggu di lokasi berkenaan.

Katanya, hasil serbuan itu telah menyita sebanyak 4,025 liter petrol yang ditemukan dalam 161 unit tong berkapasiti 25 liter setiap satu disyaki cuba diselewengkan.

“Turut disita barangan yang terbabit dalam aktiviti haram itu adalah sebuah kereta, bot laju, enjin sangkut, kereta sorong, tong kosong dan tong berisi petrol bercampur 2T.

“Tiada tangkapan dilakukan selepas semua suspek yang berada di lokasi kejadian bertindak terjun ke dalam paya dan melarikan diri ke kawasan bakau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua barang rampasan yang dianggarkan berjumlah RM74,172.50 itu disita untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Jong berkata, berdasarkan makluman awam, jeti itu tidak berdaftar dengan mana-mana agensi kerajaan serta tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan minyak petrol.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri ini.

Katanya, ia bagi mengelak berlakunya sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan di daerah ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran WhatsApp iaitu 019-848 8000 atau Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *