Kontinjen Malaysia Segak Bergaya Pada Upacara Pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024

Ketua Kontinjen negara Datuk Hamidin Mohd Amin dan pembawa Jalur Gemilang, atlet terjun, Betrand Rhodic Lises bersama atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Mohamad Latif bersama para atlet dan pegawai kontinjen negara menaiki bot pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 di Sungai Seine. Foto X

PARIS, 26 Jul – Medan pertarungan kontinjen negara di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 bermula secara rasmi hari ini apabila mereka membuat kemunculan pada acara pembukaan yang berlangsung di sepanjang Sungai Seine.

Walaupun disirami hujan renyai, kontinjen negara tetap bersemangat membawa cabaran untuk menamatkan penantian Malaysia meraih pingat emas di pentas Olimpik.

Kontinjen negara diwakili enam atlet dan empat pegawai pada acara pembukaan Paris 2024 dengan penerjun, Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif menggalas tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Kontinjen Greece diberi penghormatan menjadi negara pertama berarak menggunakan bot menyusuri Sungai Seine pada upacara rasmi Sukan Olimpik Paris 2024. Foto Reuters

Bertrand dan Nur Shazrin turut disertai Nur Dhabitah Sabri (terjun), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran), Ashley Lau (golf) dan Tan Rouxin (renang) di atas bot yang turut membawa delegasi dari Malawi di ruang tengah dan Maldives di ruang belakang itu.

Wakil negara tampil mempersona apabila menggayakan busana ‘The Malaya’ berwarna hijau zaitun dengan motif keemasan rekaan pereka fesyen terkemuka tempatan Rizman Ruzaini.

Atlet wanita memakai baju kurung songket dengan kelubung manakala atlet lelaki berbaju Melayu Teluk Belanga sekali gus mempersembahkan imej perpaduan dimiliki rakyat Malaysia yang berbilang kaum di mata dunia.

Ketua Kontinjen negara Datuk Hamidin Mohd Amin dan pembawa Jalur Gemilang, atlet terjun, Betrand Rhodic Lises bersama atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Mohamad Latif bersama para atlet dan pegawai kontinjen negara bersedia sebelum menaiki bot pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 di Sungai Seine. Foto X Khairulnizam Affendi

Delegasi Malaysia turut disertai oleh ketua kontinjen, Datuk Hamidin Mohd Amin, timbalannya Datuk Nicol David, ketua perubatan kontinjen Dr Jasmiza Khuzairi Jasme dan Ang Li Pei (pegawai keselamatan Majlis Olimpik Malaysia).

Turut hadir pada majlis pembukaan ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bersama Setiausaha Agungnya Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

Malaysia yang dalam misi memburu kilauan pingat emas sulung negara di pentas Sukan Olimpik di Paris kali ini disertai 26 atlet.

Mengikut rekod, sebanyak 85 bot membawa kira-kira 6,800 atlet belayar menyelusuri sungai berkenaan dengan jangkaan 320,000 penonton hadir menyaksikan acara penuh gemilang itu di kedua-dua tebing Seine.

Perarakan kontinjen turut diselitkan dengan beberapa nyanyian serta tarian – sebagai simbolik meraikan kehadiran 205 delegasi negara yang bertandang ke ‘kota cinta’ itu.

Presiden Perancis Emmanuel Macron merasmikan pembukaan rasmi temasya dan kemunculan Zinedine Zindane memukau ratusan ribu penonton di sepanjang sungai itu.

Kali terakhir Paris menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar dunia itu ialah pada 1924 dan tuan rumah selepas ini ialah Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2028 diikuti Brisbane, Australia pada 2032.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *