Kontinjen Malaysia Bersemangat Saksikan PM Anwar Hadir Perasmian WorldSkills Shanghai 2026
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri majlis perasmian Pertandingan WorldSkills Shanghai 2026 di Shanghai pada 22 September 2026.
SHANGHAI, 22 Sep – Kontinjen Malaysia terdiri daripada 83 peserta yang membawa cabaran negara pada Pertandingan WorldSkills Shanghai 2026, mendapat suntikan semangat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadiri majlis perasmian acara yang menghimpunkan bakat kemahiran muda terbaik dari seluruh dunia.
Semangat kontinjen negara makin membara dengan kehadiran Perdana Menteri yang menyaksikan majlis perasmian pertandingan berkenaan di Pusat Kebudayaan Ekspo Dunia Shanghai, di sini, malam ini yang disempurnakan Perdana Menteri China, Li Qiang diserikan dengan lebih 20 pemimpin utama negara yang hadir.
Antara pemimpin asing yang hadir memberikan sokongan termasuk Pengerusi Majlis Kabinet Kazakhstan, Adylbek Aleshovich Kasymaliev.

Terdahulu, Anwar tiba di Shanghai sebagai sebahagian daripada lawatan kerja tiga hari bermula hari ini atas jemputan Kerajaan China dan akan meneruskan acara ke Hangzhou bermula esok.
Turut mengiringi Anwar ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Kontinjen Malaysia diketuai Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Chef de Mission, tiba pada 20 September lalu dengan semangat mahu menyaingi peserta terbaik dunia.
Berlangsung dari 23 ingga 26 September, pertandingan itu dijalankan serentak dengan WorldSkills Conference bagi membincangkan masa depan pembangunan kemahiran, termasuk peranan kerajaan, industri dan institusi pendidikan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
